Berita Utama

‘Cerita Tommy Thomas jangan disenyapkan’

Kerajaan digesa wujudkan RCI siasat bekas peguam negara

BANGI, 6 Syaaban 1442H, Sabtu – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata, banyak alasan perlunya RCI terhadap Tommy Thomas diwujudkan, susulan pendedahan beliau dalam memoir berjudul ‘ My Story: Justice in the Wilderness’.

“Pertama, Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun mendakwa buku memoir Tommy Thomas jelas menghina institusi perundangan negara.

“Menurut Idris, memoir itu dihasilkan oleh ‘pemikiran yang dangkal kerana pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami institusi perkhidmatan awam’.

“Kedua, Tommy Thomas mendedahkan, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak atas ‘recommendation’ beliau.

“Apakah itu bermakna perlantikan ‘Hakim Hakim Atasan’ telah mengenepikan peranan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC)? Sebab itu RCI penting dituduh segera,” soalnya dalam tulisan di laman sosial Facebook, hari ini.

Bukan itu sahaja, beliau menegaskan, banyak pihak mendakwa buku memoir itu bertentangan dengan Seksyen 26 Akta Keterangan 1950. 

“Tommy Thomas dituduh langgar OSA. Selaku penasihat utama kerajaan dia terikat dengan kerahsiaan di bawah Artikel 145.

“Malah, Tommy menuduh penjawat awam adalah dungu. Dia dikecam teruk oleh JALSOA (Persatuan Perkhidmatan Kehakiman) kerana penghinaan itu.

“Tommy turut menghina keputusan Hakim Mahkamah Koroner mengenai pembunuhan Adib. Padanya keputusan itu adalah ‘absurd’,” katanya menghuraikan sebab kelima RCI terhadap Tommy perlu diadakan.

Selain itu, Tommy dalam memoirnya juga mendakwa Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) mahu Dr Wan Azizah menjadi Perdana Menteri (PM) untuk menggantikan Dr Mahathir yang meletakkan jawatan.

“Apakah Tommy menuduh YDP Agong main politik?

“Ketujuh, pendedahan Tommy Thomas kenapa dia tidak mendakwa 12 orang penyokong LTTE setelah mendapat persetujuan Tun Mahathir juga amat menggusarkan. 

“Menurut Tommy, Muhyiddin yang ketika itu Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu 12 orang itu didakwa. Muhyiddin dakwa PDRM mempunyai bukti kukuh penglibatan 12 orang itu,” katanya.

Puad berkata, banyak lagi kontroversi yang didedahkan oleh Tommy Thomas yang perlu disiasat secara bebas.

“Justeru segerakan RCI terhadap Tommy Thomas demi memelihara imej keadilan, perundangan dan integriti hakim negara.

“Cerita Tommy Thomas jangan disenyapkan. Sudahkah dia dipanggil ke Bukit Aman?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button