Berita UtamaDunia

Erdogan kritik Joe Biden label Presiden Russia ‘pembunuh’

Russia panggil duta besarnya ke Washington untuk berunding

ANKARA, 6 Syaaban 1442H, Sabtu – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengkritik Joe Biden kerana melabelkan Presiden Russia, Vladimir Putin sebagai ‘pembunuh’, atas alasan komen itu ‘tidak dapat diterima’. 

Terdahulu, dalam temu bual dengan ABC, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu ditanya sama ada menganggap Putin sebagai ‘pembunuh’, dan dia menjawab ‘ya’.

Joe Biden turut menyatakan rakan sejawatnya dari Russia itu akan ‘membayar’ dakwaan mengenai percubaan untuk melemahkan pencalonannya dalam pilihan raya AS pada tahun 2020.

Mengulas perkara itu, Erdogan menyifatkan kenyataan Biden mengenai Putin tidak sesuai statusnya sebagai presiden. 

“Bagi saya, Putin telah melakukan apa yang perlu dengan memberikan respons yang sangat, sangat pintar, sangat berkelas,” katanya.

Erdogan mengakui Putin sebagai ‘teman dan rakan strategik’ walaupun terdapat perbezaan mengenai konflik di Nagorno-Karabakh, Syria, dan Libya.

Difahamkan, Russia memanggil duta besarnya ke Washington untuk berunding sebagai tindak balas.

Bagaimanapun, Presiden Putin setakat ini hanya bertindak balas dengan mengucapkan kesejahteraan untuk kesihatan Biden, 78 tahun.

Putin juga mengatakan bahawa Moscow tidak akan memutuskan hubungan dengan Washington ekoran perkara itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button