Artikel KhasIstimewa

Kalimah Allah: Jemaah Menteri 2021 perlu keluarkan keputusan atasi Jemaah Menteri 1986

Apa-apa keputusan yang dibuat di mahkamah mesti berlandaskan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan

SEMALAM tersebarnya berita mengenai hujah teknikal yang digunakan oleh hakim dalam Kes Kalimah Allah 2.0 ini di mana Jemaah Menteri pada tahun 1986 telah membenarkan penggunaan kalimah Allah secara bersyarat. Dan itulah menjadi antara hujah utama yang ‘memenangkan’ mereka dalam kes ini.

Maka timbul persoalan, siapakah ahli-ahli politik yang menganggotai Jemaah Menteri pada 1986 selain Tun Dr Mahathir, yang masih aktif dalam politik, atau sekurang-kurangnya masih hidup pada hari ini? Kita mohon mereka ini tampil memberikan penjelasan. Jika mereka terkhilaf pada waktu itu, inilah waktunya untuk memperbetulkannya dengan sekurang-kurangnya membuat kenyataan media terbuka.

Walaubagaimanapun pada tahun 1986 juga, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan suatu pekeliling rasmi bagi mengharamkan penggunaan Kalimah “Allah”, “Kaabah”, “Baitullah”, dan “solat”. Sepatutnya yang rasmi inilah yang lebih penting.

Oleh itu, kita tertanya-tanya mengapakah kes Kalimah Allah 1.0 dahulu (2013) mahkamah membuat penghakiman menurut pekeliling rasmi KDN 1986 itu, dan bukan ‘kebenaran’ Jemaah Menteri? Kenapa ‘precedent’ kes tersebut tidak diambil kira?

Jika ‘kebenaran’ Jemaah Menteri 1986 adalah lebih utama, maka Jemaah Menteri 2021 perlu membuat satu keputusan ‘once and for all’ bagi menghalangnya. Tetapi Jemaah Menteri akan berubah dengan berubahnya kerajaan, maka apakah kebenaran tersebut akan terus berubah pada masa akan datang mengikut ‘mood’ politik semasa?

Sebenarnya, secara logiknya pun memang tidak susah pun untuk fikir mengapa kebenaran menggunakan Kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain itu akan memberi implikasi buruk kepada masyarakat. Lihat sahaja di Indonesia, sudah terbukti penyalahgunaan kalimah tersebut berlaku secara berleluasa. Mengapa kita mahu mengulanginya di Malaysia pula?

Bagi saya, apa-apa keputusan yang dibuat di mahkamah mesti berlandaskan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia (negara). Ini adalah asas yang cukup kuat dan terlalu ‘fundamental’ bahawa agama Islam tidak boleh dibawa main sebarangan. Apatah lagi kalimah suci “Allah”, iaitu tuhan dalam agama Islam.

Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
20 Mac 2021

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button