Berita UtamaDunia

Kes bunuh, curi di Lubnan meningkat 144 peratus

Mata wang tempatan terus merosot, hilang 90 peratus daripada nilai asal

BEIRUT, 6 Syaaban 1442H, Sabtu – Kes jenayah pembunuhan dan kecurian di Lubnan meningkat 144 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu, tatkala negara dalam krisis dan konflik berterusan. 

Angka itu didedahkan menerusi kajian yang dilakukan firma penyelidikan dan perundingan yang berpusat di Beirut, International Information.

Data yang dikumpulkan dari Pasukan Keselamatan Dalam Negeri (ISF) mendapati, kes pembunuhan meningkat dengan ketara sebanyak 45.5 peratus pada bulan Januari dan Februari tahun ini. 

Angka kematian mencecah 32 orang berbanding 22 pada tempoh sama tahun 2020.

Firma itu juga mengesahkan, jenayah kecurian turut meningkat 144 peratus pada bulan Januari dan Februari. 

“Kadar jenayah ganas meningkat ketika krisis kesihatan awam dan ekonomi melanda negara. 

“Antara kes jenayah yang direkodkan ialah penjualan dadah, pengubahan wang haram, dan rompakan,” kata seorang penyelidik hal ehwal awam dan anggota Lembaga Pengarah Persatuan Ekonomi Lubnan, Pierre al-Khoury kepada Al Arabiya.

Sementara itu, mata wang tempatan Lubnan terus merosot dan kehilangan lebih dari 90 peratus nilainya sejak Oktober 2019.

Krisis ekonomi telah mendorong separuh penduduk mengalami kemiskinan. Rakyat Lubnan juga berdepan dengan kehilangan pendapatan, yang rata-ratanya sebanyak 84 peratus dalam 12 bulan terakhir. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button