Berita UtamaDunia

17 mayat ditemui dalam nahas pesawat tentera terhempas

40 yang diselamatkan sedang dirawat di hospital

MANILA, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Seramai 17 mayat ditemui dan 40 yang lain diselamatkan dalam nahas pesawat tentera Filipina yang terhempas hari ini, kata Menteri Pertahanan, Delfin Lorenzana.

Ketua Angkatan Tentera Filipina, Leftenan Jeneral Cirilito Sobejana berkata, setakat ini 40 orang telah diselamatkan dari bangkai pesawat C-130, yang cuba mendarat di pulau Jolo di wilayah Sulu ketika kejadian pada jam 11.30 pagi waktu tempatan (0330 GMT).

“Semasa membawa pasukan kita dari Cagayan de Oro (di pulau selatan Mindanao), ia tersasar dari landasan dan cuba dapatkan kawalan tetapi tidak berjaya.

“Penyelamat ada di lokasi. Kami berdoa supaya dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa,” kata Sobejana kepada AFP.

Sobejana berkata, 40 yang diselamatkan sedang dirawat di hospital Bahagian Infantri ke-11 yang berdekatan.

Sebilangan besar penumpang baru-baru ini lulus  latihan ketenteraan dan sedang dikerahkan ke pulau yang bergolak bagi memerangi keganasan di Jolo.

Pesawat C-130, digunakan untuk mengangkut pasukan dan bekalan. Ia juga digunakan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.

Bulan lalu, helikopter Black Hawk terhempas semasa penerbangan latihan pada waktu malam, meragut nyawa kesemua enam penumpang di dalamnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button