Uncategorized

Kes positif COVID-19 dijangka turun satu angka sehari 6 minggu lagi

Kebenaran rentas negeri lebih baik ditangguh selepas Hari Raya Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 6 Syaaban 1442H, Sabtu – Dalam tempoh empat hingga enam minggu lagi, kes positif COVID-19 di negara ini akan turun kepada satu angka sehari.

Jangkaan itu berdasarkan penurunan kes 300 hingga 400 kes aktif setiap hari, kata Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman. 

“Saya jangka kita perlu lebih kurang empat atau enam minggu lagi untuk kes menjadi dua digit atau satu digit, sekiranya kita meneruskan komitmen (untuk memerangi COVID-19) seperti sekarang.

“Oleh itu, kalau dilihatkan pada pola tersebut, kita masih perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga.

“Biarpun program vaksin telah dilaksanakan, komitmen perlu diteruskan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Dalam perkembangan lain, Dr Malina berkata, sekatan pergerakan rentas negeri perlu terus berkuat kuasa sehingga selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Jelasnya, kebenaran untuk pergerakan rentas negeri tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa dalam tempoh terdekat, termasuk dalam bulan Ramadan.

“Saya berpendapat lebih baik jika ditangguhkan selepas Hari Raya Aidilfitri kerana kami melihat cabaran pada gelombang ketiga baru-baru ini dan kami berharap keadaan itu tidak berulang.

“Jadi, mungkin seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri merupakan masa yang wajar (untuk membenarkan pergerakan rentas negeri), jika melihat kepada pola sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan sama ada boleh merentas negeri untuk sambutan Ramadan dan Aidilfiri bergantung kepada penilaian yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan nasihat KKM.

Ini kerana, KKM memandang serius kebenaran rentas negeri kerana ia salah satu penyumbang kepada kluster COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button