Berita UtamaDunia

Palestin kecam negara Barat sekat dana pada UNRWA

Hamas gesa PBB tak menyerah ancaman rejim Israel

RAMALLAH, 16 Rejab 1445H, Ahad – Pegawai tertinggi Palestin dan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengkritik keputusan beberapa negara Barat menangguhkan pembiayaan kepada agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Palestin.

Sebelum ini, Agensi Bantuan dan Kerja bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat PBB (UNRWA) memaklumkan telah membuka siasatan selepas Israel mendakwa beberapa pekerjanya terbabit dalam serangan 7 Oktober yang mencetuskan konflik semasa.

Ini telah mendorong beberapa negara Barat menarik balik atau menghentikan sementara pembiayaan kepada agensi itu, satu langkah yang disifatkan ketua UNRWA sebagai mengejutkan.

“Penggantungan dana mengancam kerja kemanusiaan di rantau ini, terutamanya di Gaza,” kata Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini dalam satu kenyataan pada lewat Sabtu.

Beliau menggesa negara-negara yang membekukan pembiayaan untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka kerana Gaza menghadapi risiko kebuluran besar-besaran.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein al-Sheikh berkata, keputusan negara-negara itu membabitkan risiko bantuan politik dan kemanusiaan yang besar.

“Pada masa ini dan memandangkan pencerobohan berterusan terhadap rakyat Palestin, kami memerlukan sokongan maksimum untuk pertubuhan antarabangsa ini.

“…ia tidak menghentikan sokongan dan bantuan kepadanya,” katanya di X, menggesa negara-negara untuk segera membalikkan keputusan mereka.

Hamas pada Sabtu menyelar ancaman Israel terhadap agensi berkenaan, selepas negara pengganas itu mendakwa kononnya beberapa kakitangan UNRWA terbabit dalam serangan Hamas pada 7 Oktober di selatan Israel.

“Kami meminta PBB dan pertubuhan antarabangsa untuk tidak menyerah kepada ancaman dan pemerasan daripada Israel,” kata pejabat media Hamas dalam satu catatan di Telegram.

Sebelum ini, Australia, Kanada, Itali dan Amerika Syarikat berkata, mereka akan menghentikan pembiayaan kepada agensi itu.

Sementara ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell berkata, blok 27 anggota itu akan menilai langkah selanjutnya dan menarik pengajaran berdasarkan hasil siasatan penuh dan komprehensif.

Jerman, Finland, Belanda dan United Kingdom kemudiannya turut menyertai senarai negara yang menghentikan bantuan kewangan kepada agensi PBB, yang kemudahannya menjadi tempat pelarian Palestin mencari perlindungan.

Ireland dan Norway bagaimanapun menyatakan sokongan berterusan untuk UNRWA berkata, agensi itu melakukan kerja penting untuk membantu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan sangat memerlukan bantuan di Gaza.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button