Berita Utama

Kronologi peristiwa penting hubungan Malaysia-Korea Utara

Pyongyang umum tamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 6 Syaaban 1442H, Sabtu – Hubungan Malaysia-Korea bermula pada awal 1973 dan telah menyaksikan pencapaian memberangsangkan dalam bidang diplomatik dan perdagangan, sehinggalah Kim Jong-nam, saudara tiri pemimpin Tertinggi Korea Utara Kim Jong-un dibunuh di Malaysia pada 2017.

Pembunuhan Jong-nam dengan agen saraf VX menjadi titik tolak ketegangan hubungan kedua-dua pihak yang sebelum ini bermula dengan baik.

Susulan kejadian itu, timbul isu apabila pihak Korea Utara menentang keras hasil bedah siasat yang dilakukan tanpa kebenarannya.

Malaysia berpendirian kematian Jong-nam berlaku di Malaysia dan berhak menyiasat serta mengambil tindakan. Kedua-dua pihak saling bertelingkah, dengan Duta Kang Chol diusir berikutan kenyataan provokatifnya.

Walaupun Malaysia memanggil kembali dutanya dan menghentikan operasi kedutaan di Pyongyang dan Kedutaan Korea Utara di sini beroperasi tanpa duta, hubungan diplomatik masih terjalin walaupun tarafnya telah diturunkan.

Namun, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal bulan ini mengenai ekstradisi ahli perniagaan Korea Utara, Mun Chol Myong mendorong Pyongyang memutuskan hubungan dengan Malaysia seperti yang dilaporkan hari ini oleh media antarabangsa.

Berikut adalah urutan peristiwa penting dalam hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang.

1974 – Korea Utara membuka kedutaannya di Kuala Lumpur

1995 – Malaysia mengadakan rundingan antara Korea Utara dan Amerika Syarikat mengenai program nuklear negara itu.

2004 – Malaysia membuka kedutaannya di Pyongyang

2009 – Permulaan hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan Korea Utara. Rakyat Malaysia dibenarkan ke Korea Utara tanpa visa, kenaikan import Korea Utara dari Malaysia, rakyat Korea Utara tiba di Malaysia untuk bekerja, Air Koryo memulakan penerbangan ke Kuala Lumpur.

2017 – 13 Februari, Kim Jong-nam, abang tiri Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

2017 – 4 Mac, Duta Korea Utara Kang Chol diisytiharkan sebagai persona non grata dan diusir dalam tempoh 48 jam kerana memperlekeh siasatan pembunuhan itu, dua hari selepas itu kelonggaran lawatan tanpa visa untuk Korea Utara ditarik balik.

2017 – 7 Mac, Korea Utara menahan semua sembilan rakyat Malaysia di negara itu. Malaysia bertindak balas dengan melarang warga Korea Utara memasuki atau meninggalkan negara ini.

2017 – 30 Mac, semua rakyat Malaysia dan Korea Utara yang terkandas dibenarkan pulang ke negara masing-masing berikutan rundingan dan penghantaran balik mayat Jong-nam.

2018 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Pyongyang dan mengakhiri ketegangan diplomatik. Namun, tidak ada perubahan dalam status quo tersebut.

2021 – 9 Mac, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan ahli perniagaan Korea Utara, Mun Chol Myong daripada diekstradisi ke Amerika Syarikat atas tuduhan pengubahan wang haram,

2021 – 19 Mac, Pyongyang mengumumkan akan menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur kerana keputusan mahkamah tersebut.

2021 – Malaysia bertindak balas dengan menyatakan amat kesal dengan keputusan Korea Utara dan menyifatkannya sebagai tidak wajar, tidak membina dan tidak menghormati hubungan baik sesama masyarakat antarabangsa.

Malaysia berkata, kerajaan akan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button