Berita Utama

3 belia fail permohonan semakan kehakiman hak undi pada PRN Sarawak

Mohon isytihar golongan muda boleh mengundi selepas 15 Disember

KUCHING, 4 Jamadilawal 1443H, Khamis – Tiga belia memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi menggunakan hak mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Avril Clarice Chin Ning, 18, Ivan Alexander Ong, 19, dan Addam Johanson Jeremy, 19, memfailkan permohonan terhadap Pendaftar Pemilih Sarawak dan Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu (8 Disember) melalui peguam Clement Wong, George Lo dan Simon Siah.

Tindakan mereka berikutan pewartaan Undi18 pada 15 Disember yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan, manakala pilihan raya negeri pada 18 Disember menggunakan daftar pemilih yang terakhir kali dikemas kini pada 2 November.

Wong berkata, golongan muda memohon pengisytiharan bahawa mereka adalah warganegara yang berhak mengundi dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan selepas 15 Disember tahun ini.

Mereka juga berusaha untuk membatalkan Notis Pilihan Raya yang menetapkan pengundian pada 18 Disember dan Notis Daftar Pemilih yang diwartakan pada suku kedua tahun ini, serta perintah yang memaksa responden mengambil langkah segera untuk memastikan umur 18 hingga 20 tahun termasuk dalam daftar pemilih tambahan untuk pilihan raya negeri.

Wong berkata, permohonan itu akan didengar oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Disember.

“Semoga keputusan dapat dibuat sebelum hari pengundian pada 18 Disember ini,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau berkata, had umur mengundi telah diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dengan pewartaan Undi18 pada 15 Disember, yang turut memperuntukkan pendaftaran pemilih secara automatik apabila mereka mencapai umur 18 tahun.

“Sebenarnya, semua rakyat apabila mencapai umur 18 tahun berhak mengundi pada pilihan raya negeri ke-12 dan secara automatik didaftarkan sebagai pemilih.

“Tetapi nama pemohon tiada dalam daftar pemilih. Ini kerana mereka pada masa ini tidak didaftarkan sebagai pemilih dalam daftar pemilih yang digunakan dalam Notis Daftar Pemilih (untuk pilihan raya negeri),” kata Wong.

Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mereka yang berumur 18 tahun tidak akan dapat mengundi pada PRN walaupun Undi18 diwartakan, kerana pengundian hanya melibatkan daftar pemilih yang dikemas kini setakat 2 November.

Beliau juga berkata, tarikh pelaksanaan Undi18 hanya bermula Januari, sambil menambah bahawa ini berdasarkan proses undang-undang dan bukan bertujuan untuk menafikan hak dan aspirasi remaja berusia 18 tahun untuk mengundi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button