Palestin vaksin penduduk esok
Program vaksinasi untuk petugas perubatan, warga emas, pesakit kronik

RAMALLAH, 6 Syaaban 1442H, Sabtu – Kementerian Kesihatan Palestin hari ini mengumumkan, program vaksinasi COVID-19 secara besar-besaran akan dilaksanakan terhadap penduduk di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza bermula pagi esok.
Kementerian itu berkata, kumpulan pertama vaksin, di mana 38,000 daripada Pfizer dan 24,000 daripada AstraZeneca tiba di Palestin pada Khamis lalu.
Katanya, lebih banyak vaksin dijangka tiba pada hari-hari berikutnya.
Program vaksinasi akan dimulai dengan kakitangan perubatan di hospital awam dan swasta, diikuti warga emas berusia lebih daripada 75 tahun dan individu yang mempunyai penyakit kronik termasuk ginjal dan barah.
Proses vaksinasi akan dilakukan di jabatan kementerian kesihatan di bandar.
Warga Palestin telah menunggu kedatangan vaksin berikutan khuatir dengn peningkatan jumlah kes dan kematian dalam beberapa minggu terakhir, hasil pengesanan varian Inggeris dan Afrika Selatan.
Setakat ini, lebih daripada 100,000 orang telah mendaftarkan diri untuk program vaksinasi dalam tempoh 24 jam sejak ketibaannya diumumkan.
Organisasi hak asasi manusia dan masyarakat antarabangsa telah mengecam negara Israel kerana tidak memberi lima juta penduduk Palestin jumlah vaksin yang secukupnya di wilayah jajahannya
Israel mula vaksinasi penduduknya pada bulan Disember dan hampir dua pertiga penduduk haram Yahudi telah menerima vaksin. – Agensi