Berita Utama

‘Sekali lagi UMNO jatuh, mungkin tak akan bangun lagi’

Tegur demi kebaikan parti, Annuar Musa tak bimbang dipecat

BANGI, 6 Syaaban 1442H, Sabtu – Tan Sri Annuar Musa mengakui suara lantangnya menegur UMNO kerana tidak mahu parti itu dijadikan alat kepentingan kumpulan atau individu tertentu.

Ini kerana, baginya, keutamaan parti ketika ini adalah untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Justeru, teguran yang dilakukan dek kerana tidak mahu UMNO mengulangi nasib sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, jika dulu, orang kritik kita, kita akan pecat selain mengamalkan budaya membodek pemimpin yang akhirnya menjadikan kita jatuh tersungkur.

“Maka, ambillah semua itu sebagai iktibar kerana di luar sana terdapat tujuh juta pengundi muda yang sedang menunggu saat berdaftar sebagai pengundi berusia 18 tahun.

“Orang muda mahu melihat sebuah parti yang murni perjuangannya, parti yang bersih dengan dipimpin pemimpin berintegriti. Mereka mahu lihat parti mempunyai masa depan.

“Jika kita masih bawa ‘filem’ lama yang tidak selari dengan hasrat rakyat , saya percaya kita akan ditolak oleh rakyat. Kalau sekali lagi UMNO jatuh, mungkin UMNO tidak akan bangun lagi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pada masa sama, Annuar menegaskan, beliau tidak bimbang sekiranya kelantangannya menegur parti secara terbuka di media sosial menyebabkan diambil tindakan disiplin, termasuk dipecat daripada parti.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu tetap mempertahankan pendiriannya demi kebaikan parti serta mahu UMNO terus diterima rakyat.

Katanya, beliau reda dan berharap hanya dirina seorang dikenakan tindakan, seandainya sikap keterbukaannya menyebabkan beliau dipecat.

“Saya tidak bimbang apa-apa, saya hanya mahu UMNO selamat, dihormati dan disukai rakyat. Saya adalah ahli nombor 124 daripada 3.5 juta ahli.

“Saya juga seorang yang menaja menghidupkan semula UMNO baharu selepas parti itu diharamkan selain saya pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) hampir 30 tahun.

“Macam-macam orang menyindir nak pecat saya kononnya saya tidak setia dan mahu lompat pergi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Saya nak tanya adakah mereka mampu membuktikan kesetiaan kepada parti melebihi kesetiaan saya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button