Berita Utama

1,500 ahli kariah masjid disasar diberikan sijil tauliah penyembelihan

Tingkat keyakinan masyarakat haiwan disembelih adalah halal

PORT DICKSON, 7 Syaaban 1442H, Ahad – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menyasarkan untuk memberikan sijil tauliah penyembelihan kepada 1,500 ahli kariah masjid terpilih di negeri ini menjelang hujung tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata pengiktirafan sijil yang diberikan kepada ahli kariah berkenaan akan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat bahawa haiwan disembelih itu adalah halal.

“Kita mempunyai 300 masjid di seluruh negeri dan setiap masjid akan menghantar lima wakil untuk menyertai kursus selama sehari. Port Dickson merupakan daerah pertama diadakan dan daerah lain turut akan diadakan dalam masa terdekat.

“Ia merupakan suatu inisiatif untuk memberi pengiktirafan kepada penyembelih awam kerana sebelum ini kita hanya memberi sijil kepada penyembelih komersial,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Tauliah Penyembelihan Peringkat Port Dickson di sini, hari ini.

Beliau berkata kursus itu bertujuan meningkatkan kefahaman kepada orang awam selain melatih generasi baharu mengenai teknik sembelihan halal dan amalan penyembelihan secara lebih mendalam.

Terdahulu, seramai 111 ahli kariah terpilih dari sekitar Port Dickson menyertai kursus yang diadakan di Masjid Kariah Kampung Paya, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata JHEAINS kini sudah bersedia dengan sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan aktiviti yang dibenarkan di masjid dan surau sepanjang Ramadan ini.

“Sekarang kita sedang rangka SOP dan tunggu pengumuman daripada kerajaan. Jika tidak dibenarkan untuk adakan aktiviti di masjid, kita sudah siap sedia dengan SOP yang ada,” katanya.

Pada 16 Mac lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi di seluruh negara bagi menyambut ketibaan Ramadan pada tahun ini selain solat tarawih juga dibenarkan. – Bernama

 

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button