Berita Utama

Teliti syor rentas negeri dibenar selepas minggu kedua Aidilfitri

Ambil kira pandangan pakar sebelum buat keputusan

PUTRAJAYA, 8 Syaaban 1442H, Isnin – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya akan mengambil kira pandangan pakar kesihatan awam sebelum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai kebenaran rentas negeri, terutama untuk Aidilfitri.

Katanya, ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya membentangkan enam petunjuk kepada kerajaan dalam menentukan kaedah terbaik membenarkan perjalanan rentas negeri.

Pun begitu, belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat mengenai masa sesuai untuk membenarkan perjalanan rentas negeri.

“Kita memaklumkan petunjuk kepada kerajaan supaya ia dapat dipenuhi terlebih dahulu sebelum perjalanan rentas negeri dibenarkan kerana bimbang akan mencetuskan jangkitan baharu.

“Kita juga sedang meneliti pandangan pakar kesihatan awam,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Adham berkata, beliau akan turut melihat beberapa cadangan termasuk syor supaya rentas negeri hanya dibenarkan selepas minggu kedua Aidilfitri.

Termasuk cadangan supaya majoriti kumpulan rentan, khususnya warga emas telah diberikan vaksin COVID-19.

“Insya-Allah, perkara ini akan dibawa kepada kerajaan bagi menentukan masa sesuai untuk membenarkan rentas negeri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button