Berita Utama

‘Saya tak nampak PRU15 rakyat akan tolak UMNO’

Perlu sedia ‘tawaran baharu’ kepada rakyat yang damba perubahan

KUALA LUMPUR, 7 Syaaban 1442H, Ahad – Persepsi rakyat terhadap UMNO khususnya berkaitan pemimpinnya perlu diperbaiki dalam meraih kembali kepercayaan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata rakyat mengetahui rekod prestasi UMNO ketika mentadbir dan membangunkan negara, namun kebanyakan mereka masih mempunyai isu kepercayaan dalam memberikan sokongan kepada parti itu.

“Kita (UMNO) kena dilihat bahawa pemimpin-pemimpin yang ada ini menginsafi apa yang telah berlaku pada PRU14,” katanya kepada Bernama di sini.

Tanggal 9 Mei 2018 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 sekali gus menamatkan pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional (BN), yang ditunjangi UMNO.

Ditanya mengenai perdebatan dalam kalangan ahli parti mengenai pemimpin terpalit kes mahkamah yang boleh membantutkan usaha membina semula UMNO, Mahdzir berkata perkara itu perlu ditangani dengan rasional dan bijaksana bagi mengelak perpecahan dalam parti.

Katanya, UMNO telah melalui pelbagai krisis sepanjang hampir 75 tahun penubuhannya termasuk pengharaman parti itu pada 1988, penubuhan parti serpihan UMNO iaitu Semangat 46 dan pemecatan Timbalan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kemudiannya membentuk PKR.

Oleh itu, Mahdzir berpendapat ahli dan pimpinan parti perlu kembali kepada asas perjuangan dalam memelihara kepentingan negara bangsa serta bermuafakat dalam mengharungi krisis semasa.

Beliau berkata Perhimpunan Agung UMNO pada 27 dan 28 Mac ini akan menjadi medan bagi ahli dan pimpinan parti itu bersolidariti dalam menetapkan hala tuju parti bagi persiapan menghadapi PRU15 termasuk berhubung kerjasama dengan parti PAS dan Bersatu.

Selain itu, beliau berkata UMNO juga perlu mengemukakan ‘tawaran baharu’ kepada rakyat yang mendambakan perubahan seiring keperluan masa kini.

Sebagai contoh, katanya usaha digitalisasi negara menjadi agenda penting untuk dilaksana secara menyeluruh kerana capaian Internet berkualiti merupakan keperluan bagi rakyat masa kini.

“Kita kena meyakinkan (rakyat), UMNO boleh buat apa yang mereka nak dan ada tawaran baharu untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap itu menyifatkan pendulum politik kembali berayun ke arah UMNO dan BN selepas ditolak majoriti rakyat dalam PRU14.

“Saya tidak nampak PRU15 ini rakyat akan menolak UMNO tetapi kita nak lihat sekuat mana ayunan pendulum itu kepada UMNO dan BN,” tambahnya.

Parti itu menemui momentum dengan memenangi tujuh daripada 12 Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU14, dengan empat PRK terawal dimenangi PH sebelum BN mendapat rentak kemenangan bermula di PRK kelima di Cameron Highlands pada Januari 2019. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button