Berita Utama

Hak asasi manusia ‘agama baharu’ dalam perundangan di Malaysia?

Tindakan cabar Islam turut dipimpin orang Islam atas nama liberal, moderat

BANGI, 7 Syaaban 1442H, Ahad – Kedudukan dan ajaran agama Islam bukan sahaja dicabar di mahkamah, bahkan serangan terhadapnya lebih hebat di media sosial sama ada dalam negara mahupun luar.

Atas sebab itu, Islamophobia dalam kalangan orang awam dilihat menjadi-jadi, apatah lagi orang bukan bukan Islam sering diasak dengan tipu daya dan kekeliruan mengenai Islam.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sebahagian dalam kalangan awam meletak parameter yang salah dalam menilai Islam.

“Tidak kurang juga yang mempercayai bulat-bulat propaganda pihak tertentu untuk mencemar nama Islam.

“Terkini, cabaran terhadap Islam bukan sahaja dipimpin orang bukan Islam tetapi juga orang Islam atas nama liberal, moderat dan sebagainya,” katanya menulis di Sinar Harian, hari ini.

Zainul Rijal berkata, golongan berkenaan boleh mempersoalkan apa sahaja atas nama hak asasi, termasuklah isu berkaitan moral atau akhlak.

Katanya, hak asasi manusia juga dilihat seperti ‘agama baharu’ dalam sistem perundangan di Malaysia.

“Terbukti, keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain telah membangkitkan kegusaran dalam kalangan orang Islam.

“Gabungan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) umpamanya, telah mengumpulkan pelbagai NGO menzahirkan kekecewaan terhadap penghakiman tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menghargai tindakan pihak kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Justeru, beliau menggesa umat Islam menghormati keputusan dan membiarkan proses undang-undang mengambil tempat sewajarnya.

“Umat Islam berhak untuk berasa gusar, namun berpada-padalah dalam menzahirkan kegusaran.

“Jangan sehingga boleh disabitkan menghina mahkamah atau menghasut orang lain melanggar undang-undang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button