Dunia

Ibu bapa Uyghur dipisah dengan anak-anak seawal usia 5 tahun?

Cara kejam kerajaan komunis China indoktrinasi Uyghur, umat Islam

AMNESTY International (Amnesty) hari ini mengeluarkan laporan hasil kaji selidik berkenaan kekejaman kerajaan komunis China terhadap penduduk Islam Uyghur di wilayah autonomi Xinjiang.

Melalui laporan tersebut, Amensty mendedahkan, ada di antara sebilangan keluarga terpaksa berpisah dengan anak-anak seawal usia 5 tahun.

“Kem tahanan kejam China di Xinjiang telah menyebabkan ada keluarga yang terpisah dalam keadaan yang tidak dapat digambarkan.

“Anak-anak tidak dibenar meninggalkan wilayah berkenaan, manakala ibu bapa akan dikenakan tindakan atau ditahan sekiranya pulang ke rumah untuk menjaga anak-anak mereka.

“Testimoni yang begitu menghayat hati ini adalah sebahagian kecil daripada penderitaan dialami etnik Uyghur yang terpaksa berpisah dengan ahli keluarga mereka. Kerajaan China perlu segera menamatkan polisi tidak berhati perut ini,” kata Penyelidik Amnesty Internasional China, Alkan Akad.

Amensty dalam laporan berkenaan berjaya menemu bual enam keluarga Uyghur yang kini menetap di Australia, Kanada, Itali, Belanda dan Turki.

Mereka meninggalkan tanah besar China pada tahun 2017 susulan daripada tindakan kejam yang dikenakan ke atas entik Uyghur dan penduduk Islam lain.

Alkan mendakwa, situasi pemisahan dengan ahli keluarga di Xinjiang mendedahkan sikap tidak berperikemanusiaan China dalam usaha untuk mengubah atau mengindoktrinasi entik Uyghur dan penduduk Islam lain.

Katanya lagi, sejak tahun 2017 lebih daripada sejuta atau lebih penduduk muslim ditahan di kem yang digelar ‘transformasi melalui pembelajaran’ atau ‘latihan vokasional’, di mana tahanan menjadi subjek kepada pelbagai bentuk kekejaman dan penganiayaan.

Mihriban Kader dan Ablikim Memtinin melarikan diri dari Xinjiang ke Itali pada tahun 2016 selepas dikenakan tindakan kekerasan serta dipaksa untuk menyerahkan pasport kepada pihak berkuasa.

Pasangan itu meninggalkan empat orang anak bersama nenek serta atuk, sebelum mengetahui kedua-dua orang tua mereka turut ditahan oleh pihak berkuasa.

“Ahli keluarga saya yang lain tidak berani untuk menjaga anak saya selepas apa yang berlaku ke atas ibu bapa saya. Saya bimbang sekiranya anak-anak saya kini berada di kem tahanan,” kata Mihriban.

Menurut laporan, tiga orang anak Mihriban dan Ablikim kini berada di kem anak yatim piatu yang didirikan oleh kerajaan, manakala anak sulung mereka berada di sekolah asrama penuh yang dikawal rapi.

Mihriban dan Ablikim tidak dapat menghubungi anak-anak dari Itali, namun pada Novemver 2019 pasangan itu menerima permit daripada kerajaan Itali untuk membawa mereka pulang ke negara berkenaan.

Bagaimanapun, keempat-empat orang anak pasangan tersebut ditahan kerajaan China ketika dalam perjalanan ke Itali.

“Kini anak saya berada di tangan kerajaan China dan saya tidak tahu sama ada akan dapat menemui mereka lagi atau pun tidak.

“Perkara ini begitu meyakitkan, anak-anak saya seperti sudah tidak memiliki ibu bapa, mereka kini digelar anak yatim,” kata Mihriban. – Agensi

 

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button