Berita UtamaIstimewa

Kalimah Allah: Semangat menentang tak sehangat gelombang ICERD

Di mana silapnya? Sedangkan Kristian bersorak sambut kemenangan

BANGI, 7 Syaaban 1442H, Ahad – Isu penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan keagamaan Kristian seolah-olah tidak mendapat tentangan hebat ramai pihak seperti yang berlaku dalam bantahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebelum ini.

Sehubungan itu, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni tidak menolak kemungkinan perjalanan isu ini masih panjang, sedangkan di pihak Kristian telah bersorak menyambut kemenangan boleh menggunakan kalimah Allah.

Katanya, dari sisi pihak kerajaan, nampaknya pihak kerajaan pun setakat boleh mengemukakan rayuan sahaja.

“Itu pun belum tahu lagi apakah keputusannya.

“Tindakan lain yang dilakukan oleh kerajaan, wallahualam. Mungkin saya yang tidak tahu. Atau mungkin mereka tidak mahu hebahkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ustaz Fauzi berkata, untuk jangka pendek, pihaknya tidak berniat untuk mencadangkan demokrasi besar-besaran seperti himpunan membantah ICERD.

Lebih-lebih lagi tatkala negara berdepan ancaman COVID-19, demokrasi seumpama itu sukar untuk dilakukan, katanya.

Justeru, beliau memberi tiga cadangan yang boleh dibuat selain dari memorandum dari badan-badan Islam dan rayuan dari pihak kerajaan berhubung isu kalimah Allah ini.

“Pihak keselamatan tidak menakut-nakutkan umat Islam untuk menyuarakan pandangan dan bantahan secara aman terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Dalam sebuah negara demokrasi, biarlah rakyat menyuarakan pandangan mereka secara bebas dan aman.

“Siri-siri dialog antara Islam-Kristian dilakukan sama ada secara terbuka atau tertutup berkenaan isu kalimah Allah ini. Pihak Kristian sudah tentu bersedia untuk itu demi membuktikkan kebenaran dakwaan mereka. ISMA sedia menghantar wakil mewakili umat Islam untuk dialog tersebut.

“Pihak kerajaan memohon supaya keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan kebenaran pihak Kristian menggunakan kalimah Allah ditangguhkan sehinggalah ada keputusan terhadap rayuan pihak kerajaan terhadap kes ini,” sarannya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan keagamaan mereka.

Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan pengisytiharan yang dibuat seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau melarang pengimportan bahan pendidikan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button