Berita Utama

PEMBELA tempelak Majlis Gereja enggan berdialog isu Kalimah Allah

CCM tak perlu takut dialog kalimah Allah secara tertutup

BANGI, 7 Syaaban 1442H, Ahad – Keengganan Majlis Gereja Malaysia (CCM) untuk menyertai dialog secara ilmiah bersama ilmuan-ilmuan Islam di Malaysia tidak ubah seperti indikator kuat bahawa ada sesuatu yang disembunyikan.

Terdahulu FMT melaporkan, CCM menolak cadangan dialog antara sarjana Islam dan Kristian bagi menyelesaikan kontroversi penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang bukan Islam.

Presidennya, Melter Jiki Tais berkata, usul itu yang dicadangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ‘tidak sesuai’ kerana kerajaan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, baru-baru ini.

Pelik dengan keputusan CCM itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, seolah-olah mereka tidak mahu ada sesuatu yang terbongkar dengan lebih dalam lagi.

“Apatah lagi jika ada strategi mereka terdedah.

“Mengapakah Majlis Gereja ini terlalu senyap padahal merekalah badan atau institusi autoriti bagi agama Kristian? Isu-isu lain yang tiada kaitan pandai pula mereka berbunyi.

“Jika mereka inginkan ketenteraman dan keharmonian seperti yang selalu dicanang-canangkan, mereka pasti akan pantas menolak penyalahgunaan kalimah Allah ini atau sekurang-kurangnya memberikan penjelasan umum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut melontarkan persoalan sama ada CCM takut untuk berhujah secara ilmiah walaupun di dalam dialog tertutup.

“Atau sebenarnya masih terkial-kial ‘mengumpul hujah’?

“Kita mahu berdialog secara tertutup sahaja, belum lagi ajak berdialog secara terbuka dan jauh sekali berdebat. Maka tidak perlulah takut,” katanya sinis.

Isu penggunaan kalimah Allah kembali hangat apabila Mahkamah Tinggi membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button