Berita Utama

Pemuda PAS kesal ucapan menggores hati Asyraf Wajdi

Desak Ketua Pemuda UMNO minta maaf, tarik balik kenyataan

BANGI, 7 Syaaban 1442H, Ahad – Bukan hanya menggores hati ahli PAS, bahkan kenyataan Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengeruhkan lagi hubungan Muafakat Nasional (MN) di Terengganu.

Demikian kekesalan yang disuarakan Pemuda PAS Terengganu terhadap kenyataan Asyraf Wajdi sebelum ini, yang seolah-olah mendorong UMNO memerangi parti itu di negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, kenyataan itu menggores hati Pemuda PAS yang sentiasa bersabar dalam merealisasikan MN demi kepentingan umat Islam di negara ini.

“Bukan kali ini, malah berkali-kali hati kami dirobek dengan kenyataan-kenyataan pimpinan UMNO yang terus-menerus menginginkan perpecahan berlaku dalam MN, khususnya di Terengganu ini.

“Bagi kami, sudah sampai masanya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Asyraf Wajdi untuk bertanggungjawab di atas kenyataan beliau yang menambahkan kekeruhan dalam hubungan MN di bumi Terengganu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mendesak Asyraf Wajdi mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan beliau sekiranya mahu melihat muafakat ummah terus diperkasakan di Terengganu.

“Dan sekian kalinya kami memberikan peringatan kepada mana-mana pihak baik kawan atau lawan, baik baru atau lama, janganlah sentiasa mengguris hati kami dengan perbuatan dan ucapan tidak matang.

“Kami sebagai Pemuda PAS masih terus berpegang kepada hasrat besar Presiden PAS untuk terus bersama Muafakat Nasional agar kedudukan umat Islam di Malaysia terbela di bawah panji keadilan Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button