Berita Utama

Sanitasi rumah bantu cegah jangkitan COVID-19?

Proses sanitasi boleh guna cecair peluntur dicampur air

KUALA LUMPUR, 7 Syaaban 1442H, Ahad –Penularan pandemik COVID-19 dengan kes pertama mula dikesan di negara ini pada awal tahun lepas, telah banyak mengubah gaya hidup orang ramai baik dari segi ekonomi, sosial mahupun penjagaan kesihatan.

Tidak hanya sekadar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan membasuh tangan, orang ramai dilihat proaktif dalam soal penjagaan kesihatan demi melindungi diri dan keluarga daripada serangan virus yang boleh membawa maut itu.

Bagi yang berkemampuan, ramai yang memilih untuk membeli mesin penapisan udara dan tidak kurang juga yang mengupah syarikat tertentu untuk menjalankan kerja-kerja disinfeksi di rumah demi memastikan tiada virus COVID-19 yang ‘menumpang’ dan menjangkiti ahli keluarga.

Namun, bagaimana pula bagi golongan yang tidak mampu, apakah mesin penapisan udara dan kerja-kerja disinfeksi itu satu kemestian terutama untuk mereka yang pernah menjadikan rumah sendiri sebagai pusat kuarantin.

Bagi Pakar Virologi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, proses disinfeksi atau membasmi kuman tidak sukar dan boleh dilakukan sendiri oleh orang ramai dengan menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di rumah.

“Tidak perlu untuk pening kepala memikirkan kos bagi melakukan proses sanitasi di rumah kerana kita sendiri boleh melakukannya hanya menggunakan cecair peluntur dan dicampurkan dengan air menggunakan sukatan yang ditetapkan.

“Bahan kimia hipoklorit yang ada pada cecair peluntur itu sudah cukup untuk membasmi kuman di kawasan-kawasan yang kerap disentuh dan digunakan hanya dengan mengelapnya seperti tombol pintu, suis lampu, dan tandas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurutnya kerja-kerja disinfeksi itu perlu lebih berfokus dengan mengutamakan kawasan atau bilik yang digunakan untuk kuarantin pesakit COVID-19 selain pakaian mereka juga perlu dicuci berasingan daripada ahli keluarga lain untuk mengelak jangkitan.

Pakar Virologi daripada Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar pula lebih menekankan kepentingan mempunyai pengaliran udara yang baik di dalam rumah kerana ia dapat mengurangkan jangkitan virus yang berjangkit secara berkelompok.

“Sekiranya tiada pengaliran udara yang baik, virus di dalam rembesan yang halus (aerosol) akan berada pada tahap yang lama dan mungkin boleh bertahan sehingga beberapa jam.

“Jika ada pengaliran udara, virus ini akan keluar dan dilarutkan dengan udara di luar. Udara ini akan berpusing dan membersihkan kawasan di dalam rumah menggantikan udara tidak sihat yang terperangkap,” katanya.

Pada masa sama, Sazaly berkata selain cecair peluntur, kerja-kerja disinfeksi juga memadai hanya menggunakan air sabun dan kemudian dilapkan sahaja kerana virus ini diselaputi lipid yang akan larut di dalam air sabun.

Sementara itu bagi Syanty Octavia Amry, 37, mengakui agak paranoid dalam soal penjagaan kesihatan sejak penularan wabak itu ditambah lagi dengan tempat kerjanya sebuah syarikat penerbitan swasta, terletak berhampiran dengan syarikat pembinaan menyebabkannya lebih mudah terdedah kepada virus tersebut.

“Kerjaya saya sebagai wartawan memerlukan saya untuk bertemu dengan pelbagai individu dan kita pula tak tahu akan keadaan mereka. Jadi, setiap kali pulang ke rumah saya mempunyai risiko untuk membawa pulang virus bersama,” katanya.

Berikutan itu, katanya keputusan untuk mensanitasi rumah dibuat memandangkan semua ahli keluarganya merupakan antara golongan yang berisiko tinggi serta menghidap kencing manis.

Bagi suri rumah Nor Haniza Ahmad, 31, memilih untuk mensanitasi rumahnya berikutan ia dijadikan sebagai pusat kuarantin kepada lima ahli keluarganya yang dijangkiti COVID-19 pada Februari lepas.

“Saya tidak kisah untuk mengeluarkan sedikit belanja asalkan kesihatan ahli keluarga terjamin dan saya memilih untuk mengupah syarikat swasta bagi menjalankan kerja itu kerana lebih yakin memandangkan mereka mempunyai kepakaran,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button