Berita Utama

Angka korban kren jatuh kini tiga orang

3 warga China meninggal di lokasi, seorang pengguna jalan raya cedera

KUALA LUMPUR, 8 Syaaban 1442H, Isnin – Angka korban akibat komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai meningkat kepada tiga orang.

Perkara berkenan disahkan oleh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, PROLINTAS berkata, tiga pekerja pembinaan warga China meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang pengguna jalan raya pula cedera berdasarkan hasil siasatan awal.

“Insiden difahamkan berlaku apabila salah satu daripada komponen kren gantri terjatuh. Punca kejadian masih dalam siasatan.

“Susulan kejadian itu, pasukan tindak balas kecemasan SUKE bersama anggota bomba sudah menutup laluan trafik di kedua-dua hala dan kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, media melaporkan dua pekerja pembinaan disahkan maut, manakala dua lagi parah apabila sebuah kren ‘launcher’ digunakan dalam projek pembinaan lebuh raya di Persiaran Alam Damai, jatuh dan menghempap sebuah kenderaan.

Bomba dalam satu kenyataan memaklumkan, kren ‘launcher’ yang jatuh itu menghempap sebuah kereta Perodua Bezza menyebabkan pemandu seorang warga tempatan parah.

Tiga lagi mangsa adalah pekerja projek pembinaan dengan dua daripada mereka dipercayai terjatuh dari ketinggian 120 kaki (36.5 meter) dan disahkan meninggal dunia.

Seorang lagi pekerja terbabit dilaporkan tersangkut di landasan pembinaan lebuh raya, dan kerja menyelamatkan mangsa sedang dijalankan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button