Berita Utama

Datuk Seri didakwa cabul, aib kehormatan anak perempuan

Timbalan Pendakwa Raya tawar jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin

KUALA LUMPUR, 8 Syaaban 1442H, Isnin – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan anak perempuannya berusia 21 tahun antara Julai 2020 dan Januari lepas.

Bagaimanapun, lelaki berusia 49 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia. 

Lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan anak perempuannya di ruang tamu dan hadapan bilik tidur di sebuah rumah di Sentul di sini, pada 16 Julai 2020 dan 9 Januari 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bapa empat anak itu juga didakwa mengaibkan kehormatan mangsa sama dengan sengaja menyebut perkataan-perkataan lucah di dalam sebuah kereta jenis Mercedes, di sini antara 12.45 malam dan 1 pagi, 17 Julai tahun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Josiendra Abu Senin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport dan dilarang mengganggu mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

“Pihak pendakwaan mencadangkan jumlah itu (RM100,000), dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan ke atas anak kandung tertuduh sendiri serta kedudukan tertuduh yang merupakan seorang ahli perniagaan yang mempunyai beberapa kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Peguam M. Puravalen, yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberi jaminan rendah atas alasan telah memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang siasatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button