Berita Utama

Rakyat makin terseksa, kerajaan sila henti lengahkan masa

Patutnya Takiyuddin nasihat Perdana Menteri, bukan bagi alasan seolah mahu tangguh laksana titah Agong

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 7 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Datuk Seri Takiyuddin Hassan sepatutnya mengambil sikap menyarankan Perdana Menteri agar mengadakan persidangan Parlimen secara segera, bukan membalas dengan pandangan beliau yang seakan-akan mahu bertangguh daripada melaksanakan titah Yang Di-Pertuan Agong.

Pemerhati politik, Shahbudin Embun berkata, daripada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu, dapat dirumuskan bahawa dirinya seakan menidakkan apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Beliau berkata, sepatutnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil sikap lebih telus dengan menerima hakikat bahawa keadaan rakyat dan negara sudah semakin teruk.

“Dalam hal ini, Parlimen perlu bersidang segera bagi membincangkan segala isu dan masalah yang berkaitan dengan COVID-19. 

“Janganlah diberikan lagi pelbagai alasan yang sudah muak didengar oleh kita semua. Sudah sampai masanya kita berhenti melengah-lengahkan lagi masa.

“Istana melihat penggunaan perlembagaan dan demokrasi adalah alat yang paling tepat untuk menyelamatkan Malaysia daripada pandemik COVID-19.

“Bagi saya ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan; kerana sejak Malaysia dilahirkan, kita menggunakan metod ini untuk keluar daripada krisis,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahbudin berkata, Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

Maka dengan itu, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip itu, katanya.

Beliau menegaskan, Parlimen merupakan tempat yang sewajarnya untuk berdebat dan membincangkan segala usaha pemulihan yang sedang dan bakal diusahakan nanti. 

“Hanya di Parlimen yang membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat. 

“Parlimen juga berfungsi untuk ‘menyemak dan mengimbangi’ peranan badan lain bagi memastikan segala tindakan atau keputusan dibuat berdasarkan lunas Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Biarlah ada ketelusan, kerana melakukan atau melaksanakan sesuatu kerja tanpa semak imbang boleh menyebabkan usaha yang cuba dilaksanakan itu akan dipersoalkan dan menimbulkan pula isu integriti,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button