Berita Utama

Kelantan beri RM1,500 kepada waris B40 urus jenazah COVID-19

Peruntukan diberikan kepada waris mangsa mulai 15 Ogos: MB

BANGI, 2 Muharram 1443H, Rabu – Kerajaan negeri Kelantan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM1,500 kepada waris yang kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19 untuk pengurusan jenazah.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan peruntukan itu dikhususkan kepada waris mangsa kategori B40 yang akan diberikan bermula 15 Ogos ini.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah keprihatinan kerajaan negeri terhadap bebanan waris yang kehilangan ahli keluarga mereka akibat jangkitan COVID-19.

“Rakyat Kelantan diseru untuk meningkatkan tahap kawalan kendiri dan sentiasa mematuhi SOP.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan melaporkan Kelantan masih mencatatkan bilangan kes yang tinggi dengan varian Delta sudah berada dalam komuniti.

“Varian ini sangat mudah berjangkit berbanding semua varian lain dan menyebabkan bilangan kes harian COVID-19 mencatat angka yang tinggi dalam kalangan berisiko terutama penghidap penyakit kronik serta kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Yakob memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan pemberian elaun tambahan kepada imam tua dan imam muda sebanyak RM150, sementara bilal RM50.

“Jumlah keseluruhan elaun yang diterima bagi imam tua adalah RM1,850 dan RM1,350 bagi imam muda bagi masjid mukim kategori ‘A’.

“Manakala bilal menerima jumlah keseluruhan sebanyak RM800. Pembayaran elaun tambahan melibatkan 587 kategori masjid mukim ‘A’ besar dan kecil seluruh negeri Kelantan berkuat kuasa mulai Julai 2021,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button