Berita Utama

i-Jurutera syor lakukan audit bersepadu pada setiap projek pembinaan lebuh raya

Gesa siasat sama ada wujud aspek pelanggaran undang-undang

 

BANGI, 8 Syaaban 1442H, Isnin – Insiden kren gantri yang jatuh sehingga menyebabkan kematian di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) hari ini, adalah kes berulang yang menunjukkan trend membimbangkan. 

Atas dasar itu, Ikatan Jurutera Muslim Malaysia (i-Jurutera) menggesa pihak berwajib menyiasat sama ada wujud aspek pelanggaran undang-undang mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) (Akta 520).

Setiausahanya, Ir Mursyidi Mohammad berkata, aspek keselamatan di kawasan pembinaan terutamanya yang berhampiran jalan utama perlu diberi perhatian sewajarnya. 

“Ini kerana ia melibatkan nyawa orang ramai termasuk pengguna jalan raya dan pekerja,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) mengesahkan satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan SUKE di Persiaran Alam Damai, hari ini, dengan jumlah mangsa maut seramai tiga orang.

PROLINTAS dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan awal mendapati tiga pekerja pembinaan warga China meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang pengguna jalan raya pula cedera parah.

Seorang lagi pekerja terbabit dilaporkan tersangkut di landasan pembinaan lebuh raya, dan kerja menyelamatkan mangsa sedang dijalankan.

Ekoran itu, i-Jurutera mencadangkan satu audit bersepadu dilakukan oleh pihak berautoriti terhadap semua projek pembinaan lebuh raya yang serupa. 

Ir Mursyidi menegaskan, dapatan audit perlu dikongsikan kepada orang awam dan tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan bagi mengelakkan insiden yang sama berulang lagi. 

“Pada masa sama kempen keselamatan di tempat kerja perlu dipergiatkan dan penekanan kepada minda ‘Safety First’ kepada semua pekerja yang terlibat. 

“Ini supaya budaya kerja selamat menjadi sebati dalam diri pekerja,” katanya.

Pada 3 Mac lalu, dua maut dan tiga cedera apabila van dinaiki mereka dihempap perancah besi pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2). 

Kejadian runtuhan di projek pembinaan SUKE melibatkan sebuah lori trailer yang membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan.

PROLINTAS bagaimanapun memaklumkan, lori treler tersebut tidak terlibat dalam pembinaan Lebuhraya SUKE.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button