Berita Utama

Kartel daging haram: Perlu teliti proses kelulusan awal babitkan Maqis, Kastam

Dasar pemberian pemegang permit import perlu dinilai semula

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Syaaban 1442H, Isnin – Isu modus operandi kartel daging haram sebenarnya perlu ditangani terlebih dahulu di peringkat awal kelulusan, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Johor, KamalAriffin Abdul Rahman.

Ia membabitkan proses kelulusan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan Pemegang Permit Import (AP), katanya. 

“Pastikan mereka ini menjalankan transaksi dengan cara yang betul. Jika proses kelulusan berlaku dengan tidak betul, rentetan seperti kes inilah yang akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Datuk Kamal menjelaskan, keadaan menjadi makin ‘parah’ apabila terdapat daripada kalangan pemegang permit import (AP) adalah orang kenamaan.

Katanya, kebanyakan daripada orang kenamaan ini bukanlah pihak yang menjalankan perniagaan, sebaliknya hanya menjadi pemegang AP dan menyewakannya kepada peniaga lain.

Manakala peniaga yang mahu melalui jalan mudah, mendapatkan tawaran itu dan mengambil kesempatan dengan mengimport daging haram, katanya.

“Pemegang kartel AP import ini kita percaya ada orang yang ‘high profile’. Bagaimana penguatkuasa nak tangkap. Contoh datuk seri dari pihak politik, orang kenamaan.

“Itu permasalahannya. Mereka (Polis Diraja Malaysia) perlu terus pergi di bahagian pelabuhan untuk ambush mereka. Pasti boleh dapat. Di Johor, di Pasir Gudang. Di Pelabuhan Klang,” katanya.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan kes sebegini lebih membarah, beliau menggesa agar dikuat kuasakan dengan secara mandatori suatu bentuk kompaun yang tinggi kepada pemegang AP.

“Kalau tak letak kompaun yang tinggi RM5,000, mereka boleh bayar. Ini kerana mereka import berjuta-juta tan metrik setahun.

“Maka, akta mandatori ini kena dibawa kertas kerjanya dan perlu dibentang di Parlimen dan diteliti kelulusan ordinan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, dasar pemberian AP juga perlu dinilai kembali.

“Perlu dilihat semula sama ada pengeluaran AP ini di luar kawalan atau masih di dalam kawalan.

“Apabila pengeluaran AP di luar kawalan, ia isu besar. Kalau terlalu terhad, ia akan menjadi masalah dan ada pihak akan mengambil kesempatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button