Berita UtamaDunia

Lebih 3 juta rakyat Arab Saudi sudah terima vaksin

Belum ada sekatan ibadah umrah terhadap individu tak divaksin

RIYADH, 8 Syaaban 1442H, Isnin – Lebih 3 juta rakyat Arab Saudi menerima vaksin COVID-19, membabitkan 70 peratus warganegara dan penduduk yang mendaftar untuk menerima suntikan berkenaan. 

Kementerian Kesihatan memaklumkan, lebih 500 pusat inokulasi dibuka termasuk di farmasi, bagi memastikan setiap individu memiliki akses untuk mendapatkan suntikan vaksin. 

Setakat ini, belum ada kesan sampingan yang serius membabitkan individu yang sudah divaksin, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Mohammed al-Abd al-Ali. 

Beliau turut menyangkal dakwaan kononnya seorang lelaki telah meninggal dunia setelah mengalami komplikasi disebabkan suntikan vaksin.

Orang yang diberi vaksin hanya melaporkan kesan sampingan yang telah dijangka, seperti demam, sakit kepala, atau mual, katanya.

Ketika ditanya mengenai sama ada vaksin boleh mempengaruhi wanita yang ingin hamil, al-Abd al-Ali mengatakan bahawa tidak ada petunjuk bahawa vaksin mempunyai kesan terhadap rancangan untuk hamil.

Ibu yang menyusu juga layak menerima vaksin, katanya, sambil memaklumkan bahawa penyelidikan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada vaksin selamat untuk wanita hamil dan anak kecil.

Berkenaan dengan sekatan umrah dan perjalanan, jurucakap itu mengatakan bahawa pihak berkuasa belum mengenakan sekatan kepada pelancong atau jemaah yang tidak diberi vaksin.

Namun, beliau meminta semua pihak untuk mengambil vaksin, terutama mereka yang terdedah dengan orang ramai. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button