Berita Utama

‘Mungkin Korea Utara bertindak balas, tapi tak membimbangkan’

Pyongyang ambil kesempatan jadikan Malaysia pusat kegiatan ‘gelap’?

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Syaaban 1442H, Isnin – Tindakan Malaysia mengusir semua diplomat Korea Utara memberi isyarat jelas dan tegas bahawa mereka tidak lagi dibenarkan mengambil kesempatan ke atas negara ini.

Ini kerana, ‘negara paling tertutup’ itu sering mengambil kesempatan ke atas Malaysia termasuk menjadikan negara sebagai pusat kegiatan ‘gelap’ seperti aktiviti menjual beli senjata, dakwa Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute (IRIS), Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim. 

“Kes pembunuhan Kim Jong Nam beberapa tahun lalu juga, satu contoh bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara yang terbuka diambil kesempatan untuk pihak Korea Utara menjalankan operasi yang menyalahi undang-undang, bahkan mengancam keselamatan negara kita.

“Pendapat saya, tindakan mengusir keluar Korea Utara dari Malaysia boleh memberi isyarat yang jelas dan tegas bahawa kita tidak akan lagi membenarkan negara kita diambil kesempatan oleh mereka,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Malaysia mengusir semua diplomat Korea Utara selaras dengan keputusan kerajaan yang diumumkan oleh Wisma Putra, Jumaat lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan terpaksa mengambil tindakan itu sebagai respons terhadap keputusan unilateral dan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada Jumaat lalu.

Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, yang terjalin pada 1973, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Ditanya kesan terhadap tindakan Malaysia itu, Ustaz Syed Ahmad Israa’ tidak menolak kemungkinan akan berlaku tindak balas daripada pihak Korea Utara ke atas negara.

“Namun, ia tidak akan sampai ke peringkat yang membimbangkan tahap keselamatan negara.

“Dengan anggapan apabila tindakan ini diambil oleh kerajaan, segala agensi dan badan yang berkait dengan pertahanan atau keselamatan negara telah pun memiliki maklumat yang secukupnya untuk bersedia menjaga keselamatan negara daripada sebarang cubaan pihak Korea Utara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button