Berita Utama

Perpecahan dalaman parti halang gabungan kerjasama politik boleh menang

Konflik jika tak diurus dengan baik sebabkan kerjasama politik terbubar

BANGI, 8 Syaaban 1442H, Isnin – Gabungan politik baharu yang dibentuk perlu mengambil kira banyak perkara sebelum sesuatu kerjasama dilakukan.

Ia termasuk pembahagian kerusi, yakni kesan utama sebelum pilihan raya, kata Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi UPM, Dr Nur Ayuni Mohd Isa.

Katanya, pembahagian kerusi menjadi strategi utama perlu dilakukan parti komponen supaya tiada pertembungan.

Sebagai contoh, UMNO dan PAS sebagai lawan pada pilihan raya lalu perlu menjalankan rundingan, perancangan, tolak ansur dan pembahagian kerusi supaya tidak berlaku pertembungan yang boleh menjejaskan kedudukan mereka.

“Malah, pembahagian kerusi juga perlu diambil kira, termasuk parti komponen yang sebelum ini tidak bekerjasama, terutama pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14).

“Jika rundingan dan tawaran tidak menepati kehendak kedua-dua pihak, sukar untuk membina kerjasama yang dapat bertahan dalam pilihan raya,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Dr Nur Ayuni berkata, konflik antara parti komponen juga memainkan peranan sekiranya tidak diurus dengan baik, sehingga menyebabkan sesuatu pakatan kerjasama politik boleh terbubar.

Jelasnya, parti komponen dalam sesuatu kerjasama politik perlu mengiktiraf dan menghormati pihak lain.

“Mereka perlu bersedia memperkukuhkan kuasa menerusi pengembangan idea dan tidak mempolitikkan sesuatu isu yang boleh menimbulkan konflik dalam gabungan terbabit.

“Parti komponen juga perlu saling menghormati dasar dan prinsip serta membenarkan setiap parti mempertahankan kepentingan dasar utama mereka.

“Malah, parti komponen bekerjasama juga perlu saling menerima dan bertukar pandangan serta mempunyai asas kepercayaan sama,” katanya.

Jelasnya, sebelum sesuatu kerjasama dipersetujui, semua perkara perlu jelas termasuk, komunikasi baik, nilai persahabatan, ketelusan, sikap terbuka, membantu dan tidak menghalang kepada proses perbincangan.

“Beberapa peraturan dibuat parti mesti dipersetujui semua pihak.

“Walau apapun setiap kerjasama dibuat, ia perlu mempunyai ciri disebutkan itu, sekali gus dipraktikkan agar membolehkan hasil baik terutama kesan kepada rakyat.

“Perlu ditegaskan, perpecahan dalaman parti akan menghalang pembentukan gabungan kerjasama politik yang boleh menang, sekali gus merugikan semua parti komponen terbabit,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button