Berita Utama

Sultan Ibrahim perkenan penubuhan Persatuan Anak Bangsa Johor

Mahu Jawatankuasa Interim bincang terperinci mengenai perlembagaan persatuan

JOHOR BAHRU, 8 Syaaban 1442H, Isnin – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini memperkenankan penubuhan Persatuan Anak Bangsa Johor (PABJ) yang berperanan menyatukan anak Johor.

Sultan Johor bertitah bahawa baginda sentiasa menitikberatkan perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor yang menjadi tunjang kemajuan serta pembangunan negeri ini.

“Saya tiada masalah dalam penubuhan persatuan ini, saya mahu Jawatankuasa Interim berbincang secara terperinci mengenai perlembagaan persatuan dan perkara-perkara lain.

“Selepas disiapkan draf Perlembagaan, boleh mengadap semula untuk saya menelitinya kerana saya mahu ia (PABJ) adil kepada semua kaum,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO), yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda, di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima mengadap Presiden Interim PABJ Datuk Mohsen Hasbollah bersama Naib Presiden Interim Law Boo Song dan M.Pubalan; Setiausaha Interim Radiah Nordin serta Sekretariat Interim Lutfi Radzi di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, pagi ini.

Turut dipersembah kepada Baginda dalam pertemuan itu ialah kertas kerja penubuhan PABJ termasuk ringkasan kronologi penubuhan persatuan, hala tuju, objektif dan carta organisasi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button