Berita Utama

NGO Melayu, Islam serah ‘Warkah Rakyat’ kepada Istana Negara

Mohon Agong isytihar darurat politik sehingga PRU15

BANGI, 10 Muharram 1443H, Khamis – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam menyerahkan ‘Warkah Rakyat’ kepada pihak Istana Negara hari ini.

Warkah itu mengandungi cadangan kepada solusi untuk krisis politik negara yang berlaku mutakhir ini.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, cadangan-cadangan yang diusulkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja berkisarkan kepada sekiranya perlantikan Perdana Menteri baharu menemui jalan buntu, ataupun peristiwa pergolakan dalaman parti-parti kerajaan berulang kembali.

“Kita telah memohon agar Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat politik sehingga PRU15 agar ahli-ahli politik berhenti bermain politik, terutamanya perancangan dan permainan ‘numbers’ yang tidak berkesudahan dan proses beli-membeli untuk mengukuhkan kedudukan akan terus berlaku.

“Maka, drama yang sama akan terus berulang walau siapa pun yang akan naik nanti termasuk Pakatan Harapan atau apa jua pakatan baharu. Akhirnya negara akan rugi, kerana negara akan terus dilanda krisis dalam sebuah ‘loop’.

“Namun, kita berpendapat bahawa Parlimen perlu terus berjalan untuk ‘check and balance’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Haji Aminuddin berkata, serahan warkah itu juga bertepatan dan bersempena Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Moga-moga cadangan solusi ini sedikit sebanyak dapat membantu Tuanku dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan hala tuju sistem politik tanah air yang perlukan perubahan dan penambahbaikan.

“Oleh kerana dokumen yang kami serahkan ini adalah sulit dengan pihak istana, kami tidak dapat berkongsi intipatinya kepada umum buat masa ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button