EU laksana sekatan 4 pegawai China didakwa aniaya Uyghur
Aset dibeku, disekat bergerak dalam sempadan negara-negara EU

LONDON, 9 Syaaban 1442H, Selasa – Kesatuan Eropah (EU) mengambil keputusan untuk mengenakan sekatan terhadap empat orang pegawai China yang didakwa menganiaya etnik Islam Uyghur.
Tindakan berkenaan diambil sebagai hukuman pelanggaran hak asasi manusia yang didakwa sering dilakukan oleh negera Tembok Besar itu.
Aset bagi empat pegawai China terbabit akan dibekukan dan mereka juga dilarang daripada bergerak dalam kawasan sempadan negara-negara EU.
Selain itu, mana-mana penduduk dan syarikat Eropah juga dilarang daripada menyalurkan bantuan dalam bentuk kewangan kepada mereka.
Keempat-empat orang pegawai berkenaan berjawatan tinggi dalam organisasi pentadbiran di Xinjiang, iaitu wilayah yang didakwa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menahan lebih daripada setuju etnik Uyghur serta penduduk Islam lain.
“Mereka adalah Chen Mingguo, Pengarah Biro Keselamatan Awam Xinjiang; pegawai kanan Wang Mingshan dan Wang Junzheng serta bekas Ketua Wilayah Xinjiang, Zhu Hailun,” kata EU.
Amerika Syarikat (AS), Kanada, Britain, Australia dan New Zealand menggelar keputusan berkenaan sebagai ‘tindakan terkoordinasi’ yang selari dengan sekatan EU supaya China segera menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab mereka.
Sekatan yang dipersetujui itu menandakan langkah tegas dari EU sejak melaksanakan embargo pada tahun 1989 ke atas Beijing susulan daripada tragedi Tiananmen Square. – Agensi