Berita Utama

Kalimah Allah: PEMBELA junjung titah Sultan Selangor, Sultan Johor

Titah baginda absahkan kegusaran umat Islam dalam isu kalimah Allah

BANGI, 9 Syaaban 1442H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menjunjung dan menyokong titah raja-raja Melayu yang bersungguh-sungguh menunaikan amanah sebagai ketua agama Islam negeri.

Ini selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini dengan tegas bertitah bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Justeru, baginda bertitah bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun tetap dilarang sama sekali penggunaannya di Selangor.

Sebelum ini juga, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah perkara sama dan mengarahkan tindakan sepatutnya diambil segera.

Menjunjung titah itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, titah itu mengabsahkan lagi kegusaran dan rasa tersinggung umat Islam dalam isu kalimah Allah.

Beliau berkata, ia sekali gus menyangkal pihak-pihak yang cuba memperlekehkan umat Islam, kononnya kerisauan itu tidak berasas.

“Alhamdulillah, salah satu daripada enam resolusi Persidangan NGO-NGO Islam dalam isu ini sudah hampir tercapai, iaitu agar Majlis Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam setiap negeri mengambil tindakan dalam isu ini.

“InsyaAllah, kita pasti sultan-sultan di negeri-negeri lain juga bakal menyusul untuk mengeluarkan titah yang sama dalam isu ini dengan tegas demi mempertahankan kesucian dan kedaulatan Islam di negeri masing-masing sekali gus di seluruh Malaysia, sebagai agama negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak itu, beliau menggesa umat Islam supaya tidak lagi meragui untuk mengambil pendirian dalam isu kalimah Allah.

“Apakah pendirian ketua parti kalian lebih penting berbanding titah raja-raja kamu?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button