Berita Utama

Suhu di utara Semenanjung, Sabah dijangka lebih 35 darjah Celsius

Sarawak pula diramal alami hujan lebat petang hingga awal pagi

BANGI, 11 Syaaban 1445H, Rabu – Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius di negeri-negeri utara Semenanjung dan Sabah.

Bagaimanapun, berdasarkan analisis model-model cuaca, jabatan itu memaklumkan, penumpuan angin dijangka berlaku di bahagian tengah dan selatan Sarawak.

Katanya, keadaan itu berpotensi menghasilkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan terbabit terutama pada sebelah petang serta boleh berlarutan hingga ke awal pagi.

“Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang turut berpotensi berlaku di beberapa tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi Met Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Met Malaysia memaklumkan negara dijangka mengalami ketiadaan hujan dalam tempoh lama dan menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan berikutan fasa akhir Monsun Timur Laut sehingga penghujung Mac.

Katanya, litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat, terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button