Berita Utama

Gerakan tekad rampas Pulau Pinang daripada DAP

PRU14 saksikan Gerakan kalah di 22 Parlimen, 31 DUN

KUALA LUMPUR, 10 Syaaban 1442H, Rabu – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dilaporkan mahu membuat kemunculan semula dalam arena politik dengan merebut Pulau Pinang daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, Pulau Pinang akan menjadi negeri tumpuan mereka pada PRU15 yang akan memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya.

“Gerakan bermula di Pulau Pinang, kami mencapai kemuncaknya di sana tetapi di sanalah parti itu jatuh. Kami akan membuat kemunculan semula di Pulau Pinang, tempat kediaman kami. Itu penting bagi parti dan kami fokus pada negeri dan PN untuk menang,” katanya.

Bagaimanapun, Dominic berkata, partinya tidak mahu bercakap mengenai kerusi atau calon.

“Kami mempunyai senarai harapan tetapi kami akan menyerahkannya kepada Majlis Presiden PN untuk membuat keputusan. Tetapi persiapan kami untuk menghadapi PRU15 akan bermula dan kami mesti bersedia untuk mempertahankan hak rakyat dan menjaga kesejahteraan mereka.

“Keutamaan kami sekarang adalah memastikan PN memenangi PRU15. Ini sejajar dengan ideologi Gerakan untuk mencapai kestabilan politik di negara ini,” kata Dominic seperti dilapor The Star, hari ini.

Dominic berkata demikian pada sambutan ulang tahun ke-53 Gerakan di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Sekiranya rundingan kerusi untuk PRU15 menjadi cabaran, Dominic mengatakan mereka lebih memilih untuk tidak berebut dan akan berusaha untuk memastikan situasi menang-menang dengan parti komponen PN lain dengan hanya meletakkan satu calon.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Gerakan bertanding di 22 Parlimen dan 31 DUN tetapi gagal memenangi sebarang pertandingan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button