Berita Utama

Kalimah Allah: Mohon sultan lain keluar titah sama seperti Sultan Selangor

Bimbang penggunaan kalimah Allah kelirukan individu baru peluk Islam

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 10 Syaaban 1442H, Rabu – Majlis Perundangan Melayu (MPM) berharap supaya sembilan sultan lain termasuk Yang di-Pertuan Agong akan mengikut jejak langkah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj yang bertitah melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible.

Pengerusi Biro Pembangunan Insan dan Komunitinya, Kamalshukri Abdullah Sani berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya titah Sultan Selangor kerana agama Islam adalah di bawah kuasa Majlis Raja-Raja Melayu.

“Jadi memang cantik semua sultan mempertahankan kesucian agama Islam,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor menegaskan sebarang pengunaan kalimah Allah dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa bentuk sekalipun adalah dilarang sama sekali di negeri itu.

Baginda bertitah demikian sebagai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes Jill Ireland binti Lawrence Bill melawan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia baru-baru ini.

“Beta mengulangi pendirian Beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

“Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam,” titahnya.

Mengulas mengenai perkara sama, Kamalshukri berkata, kebenaran penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam akan mudah mengelirukan orang lain, khususnya individu yang baru memeluk agama Islam termasuk kanak-kanak.

“Kita faham memang ada pro dan kontranya (kebaikan dan keburukan). Tetapi, jelas bahawa perkataan Allah tidak dibenarkan untuk tujuan yang boleh mengelirukan atau berniat jahat. Jadi, kita lihat setelah sekian lama (perkara ini) tidak menjadi isu.

“Mereka patut tahu Allah itu bagi orang Islam adalah tuhan yang satu, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

“Jadi, kalau ada agama yang mempercayai bahawa tuhan itu 3 dalam 1, 2 dalam 1, ia bermakna tidak tepat untuk gunakan (kalimah) Allah bagi maksud itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button