Berita Utama

Masjid di Perak digalak anjur bazar Ramadan

Laksana di pekarangan masjid dengan mengikut SOP ditetapkan pihak berkuasa

IPOH, 10 Syaaban 1442H, Rabu – Masjid seluruh negeri Perak digalakkan untuk menganjurkan bazar Ramadan pada tahun ini sebagai alternatif bagi mengurangkan kesesakan di bazar sedia ada, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Beliau berkata, penganjuran bazar Ramadan itu boleh dibuat di dalam kawasan pekarangan masjid dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan dan keupayaan ahli jawatankuasa masjid masing-masing untuk penganjuran bazar Ramadan ini. Pihak JAIPk tiada halangan untuk mereka anjurkan bazar Ramadan ini mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

“Secara tidak langsung usaha ini akan membantu ahli kariah mendapatkan keperluan berbuka puasa, menambah pendapatan peniaga dan pihak masjid juga boleh mengisi tabung sedia ada dengan mengenakan sedikit caj bagi tujuan tersebut,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai surat yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk, semalam yang menggalakkan masjid di negeri ini menganjurkan bazar Ramadan di kawasan pekarangan masing-masing.

Bagaimanapun, jelasnya, masjid-masjid yang ingin mengadakan bazar Ramadan perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing supaya operasi perniagaan dapat dijalankan secara sah.

Katanya, setakat ini terdapat masjid-masjid di Perak yang menganjurkan Pasar Tani di kawasan pekarangan masjid tetapi bagi bazar Ramadan ia belum pernah dilaksanakan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button