Berita Utama

Jangan politikkan undi 18 – Wan Junaidi

Boleh menimbulkan kekeliruan selain membawa penyebaran maklumat tidak tepat

 

KUCHING,1 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Ahli politik perlu berhenti mempolitikkan isu berkaitan Undi 18 kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan yang tidak perlu di samping membawa kepada penyebaran maklumat yang tidak tepat dalam kalangan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata punca Undi 18 tidak dapat dilaksanakan sebelum 31 Dis adalah disebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum bersedia untuknya.

“SPR masih belum bersedia.. dari segi pelaksanaannya, terutama berhubung sistemnya, bukannya sebab kerajaan takut untuk membenarkan individu berumur 18 tahun untuk mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 3 Nov lepas Wan Junaidi memberitahu Dewan Rakyat bahawa pindaan kepada perlembagaan persekutuan berkaitan penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun tidak dapat dilaksanakan sebaik sahaja Rang Undang-undang itu diluluskan pada 2019 memandangkan beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Wan Junaidi menjelaskan bahawa semasa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun, ia hadir serentak dengan peraturan berkaitan pendaftaran pengundi secara automatik.

“Sehubungan itu ada banyak aspek pelaksanaan dan berkaitan sistem yang perlu diselesaikan oleh SPR terlebih dahulu, seperti soal logistik, pendaftaran pengundi serta mengemas kini senarai pengundi,” tambahnya.

Beliau berkata, sebenarnya untuk berlaku adil kepada SPR, sebaik sahaja pindaan Rang Undang-undang berkenaan diluluskan pada 2019, SPR diberi masa sehingga 2023 – cukup masa untuk rancangan awal yakni menyediakan ia untuk diguna pakai pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Katanya berdasarkan kepada fakta berhubung tempoh masa yang dikemukakan oleh SPR, proses berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 22 Sept depan bagi membolehkan sistem itu berjalan dengan lancar.

“Banyak perkara berlaku dalam tempoh itu – daripada perubahan dalam pentadbiran kerajaan kepada wabak COVID-19, yang menganggu proses pelaksanaan.

“Namun apapun SPR tetap akan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuching untuk melaksanakan penurunan umur layak mengundi dari 21 kepada 18 selewat-lewatnya 31 Dis,” katanya.

Wan Junaidi berkata pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi akan menyaksikan peningkatan lebih 40 peratus kepada 21.2 juta pengundi berdaftar berbanding 14.9 juta dalam pilihan raya umum ke-14.

“Akibatnya SPR akan menghadapi tugas besar untuk membersihkan senarai itu bersama-sama agensi lain yang berkaitan iaitu Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara untuk memastikan hanya mereka yang layak, mengundi dalam senarai itu,” tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button