Berita Utama

UMNO tak akan kerjasama dengan PKR

Kerjasama dengan PAS masih berjalan, tetapi PAS bebas pilih dengan siapa mereka lebih selesa: Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 10 Syaaban 1442H, Rabu – UMNO tidak akan bekerjasama dengan PKR pada pilihan raya akan datang dan hanya akan bekerjasama dengan rakan-rakan komponennya di bawah Barisan Nasional (BN).

Menegaskan perkara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti tersebut tidak mengadakan perbincangan dengan PKR mengenai kerjasama menghadapi pilihan raya namun sebarang kemungkinan pakatan hanya akan dilihat selepas PRU15.

Perkara itu dinyatakan seminggu selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan ada perbincangan antara kedua-dua pihak.

“Ya, Anwar dan saya saling bertemu di Parlimen (dan) pada majlis perkahwinan, tetapi tidak ada perbincangan sama ada, secara rasmi atau tidak rasmi.

“Tidak dengan saya, tidak juga dengan Mat Hassan (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan),” kata Ahmad Zahid dalam wawancara menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada 27-28 Mac.

Ketika ditanya apakah ada pemimpin UMNO yang menemui Anwar mengenai hal ini, beliau berkata: “Kamu kena tanya kepadanya dengan siapa dia berbincang tetapi UMNO tidak membenarkan wakil untuk mengadakan perbincangan seperti itu.”

Pada 19 Februari, UMNO memaklumkan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya akan datang dan kerjasama sedia ada akan berakhir apabila Parlimen dibubarkan.

Mengenai sama ada UMNO bersedia menjalin kerjasama dengan PKR, Ahmad Zahid mengatakan bahawa selepas PRU15, apa sahaja mungkin berlaku.

“Tetapi buat masa ini, tidak ada perbincangan, tidak dengan PKR, tidak dengan DAP, tidak dengan Pakatan Harapan,” ulangnya.

BN kini terdiri daripada empat parti – UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pada 17 Mac, Anwar mengatakan ‘perbincangan awal’ antara pemimpin PKR dan UMNO telah berlangsung tetapi tidak mencapai persetujuan atau persefahaman rasmi.

“Saya sudah mengatakan ia terlalu awal untuk menunjukkan kemungkinan adanya kerjasama atau persetujuan. Pada tahap ini, kita sedang berbahas,” kata Anwar.

Mengenai kerjasama UMNO dengan PAS, Ahmad Zahid mengatakan kedua-dua parti masih bekerjasama dalam semangat Muafakat Nasional (MN).

“Tetapi terserah kepada mereka. Sekiranya mereka merasa lebih selesa bekerja dengan pihak lain, mereka boleh melakukannya,” katanya.

PAS dan UMNO membentuk gabungan MN pada tahun 2019, tetapi ia juga merupakan anggota gabungan Perikatan Nasional dengan Bersatu dan tiga parti lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button