Berita Utama

10 SJKC ditambah dalam tempoh 10 tahun: Jiao Zong

Sekolah ditutup kerana ketiadaan pelajar akan beroperasi semula di tempat baru

KUALA LUMPUR, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Malaysia dilaporkan mempunyai sebanyak 1,301 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dengan pertambahan sebanyak 10 buah sekolah vernakular itu semenjak 2010, lapor Oriental Daily.

Portal berbahasa Cina itu memetik laporan Jiao Zong bertajuk ‘Tinjauan Bilangan SJKC dan Bilangan Pelajar Bagi Tahun 2010-2020’.

Ia dilaporkan berkata, bermula tahun 2010 hingga 2021, sebanyak tujuh buah SJKC yang menerima peruntukan pembinaan sebelum tahun 2008 telah siap dibina dan beroperasi.

Selain itu, dua buah sekolah yang telah mendapat peruntukan pembinaan sebagai sekolah cawangan telah ditukar menjadi SJKC tunggal yang baru.

Namun, terdapat dua SJKC berhenti beroperasi pada 2010 kerana ketiadaan pelajar.

Pun begitu, ia dilaporkan akan mula beroperasi setelah ditempatkan semula. 

 “Terdapat sebuah sekolah iaitu SJKC Chiaw Nam Baram Marudi di Sarawak berhenti beroperasi kerana ketiadaan pelajar, dan kini proses penempatan semula sekolah sedang berjalan, oleh itu sekolah ini tidak tersenarai dalam statistik dan data KPM.

“Tambah Jiao Zong, dalam tempoh 2010-2021, 15 buah SJKC telah mendapat kebenaran untuk ditempatkan semula dan sedang beroperasi. 

“Untuk mengelakkan kekeliruan, sekolah-sekolah ini tidak dimasukkan ke dalam jadual laporan kerana ia sudah wujud dalam data dan statistik KPM sebagai sekolah yang beroperasi sebelum ditempatkan semula,” katanya.

Antara sekolah berkenaan ialah SJKC Kheng Chee di Karak, Pahang (ditempatkan semula di Puchong, Selangor), SJKC Kai Meng di Bintangor, Sarawak (ditempatkan semula di Bintulu, Sarawak), SJKC Union di Taiping, Perak (ditempatkan semula di Cyberjaya), SJKC Pei Cheng di Pengerang, Johor (ditempatkan semula di Kulai, Johor).

Seterusnya, SJKC Beaufort (ditempatkan semula di Kota Kinabalu, Sabah), SJKC Tung Hua Ladang Tanah Merah Port Dickson (ditempatkan semula di Seremban) dan lain-lain lagi.

Katanya, jumlah 1,301 sekolah vernakular itu termasuk juga dua buah SJKC yang berhenti beroperasi kerana ketiadaan pelajar pada 2015 dan 2019.

SJKC Bukit Fraser berhenti beroperasi pada 2019 manakala SJKC Poay Chai di Kedah berhenti beroperasi pada 2015.

 Jiao Zong berkata, sekiranya proses pembinaan sekolah berjalan dengan lancar, SJKC Bukit Fraser yang ditempatkan semula di Tropicana Aman Kuala Langat akan mula beroperasi tahun depan.

Sementara pembinaan SJKC Poay Chai (Kedah) yang ditempatkan semula di Taman Bukit Indah Bandar Iskandar Puteri dijangka siap pada 2023.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button