Berita Utama

Bilangan pelajar di SJKC 571,770, menurun 15.92 peratus dalam 11 tahun

Semua negeri rekod penurunan jumlah pelajar kecuali Sabah, Labuan

BANGI, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Statistik bilangan pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) seluruh negara menurun sebanyak 15.92 peratus setakat Februari lalu, berbanding pada tahun 2010, menurut Jiao Zong.

Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan (KPM), terdapat 571,770 pelajar SJKC di seluruh negara dicatatkan sehingga bulan lalu.

Dalam tinjauan yang dilakukan untuk tempoh 2010-2021 itu, Jiao Zong – pertubuhan radikal Cina – berkata, semua negeri seluruh negara merekodkan penurunan jumlah pelajar kecuali di Sabah dan Labuan.

“Bagaimanapun, berdasarkan anggaran konservatif, 90 peratus ibu bapa Cina masih menghantar anak mereka ke SJKC, sekali gus mempamerkan sikap ambil berat mereka terhadap pendidikan bahasa ibunda,” kata Jiao Zong dipetik laporan akhbar Sin Chew Daily.

Pertubuhan itu mendakwa, data KPM juga menunjukkan peningkatan bilangan pelajar bukan Cina di SJKC iaitu 11.84 peratus pada 2010 kepada 19.75 peratus bagi tahun 2020.

“Ini menunjukkan SJKC adalah sekolah pilihan ibu bapa bukan Cina kerana setiap tahun semakin ramai orang bukan Cina menghantar anak mereka belajar di SJKC, selain membuktikan SJKC adalah sekolah majmuk, anak-anak dari pelbagai kaum boleh belajar bersama di SJKC,” dakwanya.

Difahamkan, jumlah pelajar yang dinyatakan dalam tinjauan itu tidak termasuk murid di pra-sekolah.

Selangor juga antara negeri yang mempunyai pelajar SJKC paling ramai iaitu 110, 276 orang (21.7 peratus), diikuti Johor (90,473) iaitu 17.8 peratus, kata laporan akhbar Cina berkenaan.

Menurut Sin Chew Daily, statistik terkini itu didakwa berikutan daripada penurunan kadar kelahiran dalam masyarakat Cina, sehingga menjejaskan bilangan pelajar di sekolah vernakular berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button