Berita Utama

COVID-19: 41 kluster di institusi pendidikan direkod sejak 1 Januari hingga kini

15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi, 11 sekolah menengah

KUALA LUMPUR, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Sejumlah 41 kluster COVID-19 di semua peringkat institusi pendidikan dilaporkan setakat hari ini sejak 1 Januari lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster prasekolah dan sekolah rendah serta lima kluster pusat tahfiz dan madrasah yang telah dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan itu.

Ia termasuk tiga kluster baharu yang diumumkan hari ini iaitu Kluster Paloh Rambai, Kluster Merinding, dan Kluster Persiaran Maktab.

“Bermula 20 Jan lepas, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengumumkan pembukaan semula institusi pendidikan secara bersemuka bagi pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) secara berfasa dan pembukaan ini diperluaskan kepada sekolah rendah serta prasekolah pada 1 Mac.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik komitmen KPM dalam memastikan para pelajar tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan yang selamat.

“Oleh itu, KKM ingin mengingatkan semua pihak terutamanya para pentadbir, guru, ibu bapa atau penjaga, pengusaha kantin, pemandu kenderaan sekolah serta pelajar untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kementerian dengan kerjasama KPM akan sentiasa memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan.

Beliau berkata kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan institusi pendidikan adalah kondusif dan selamat untuk pengajian sekali gus akan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan juga lain-lain jangkitan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button