Berita Utama

Hampir 100 kapal dagang asing bersauh secara haram di perairan Johor setiap hari

Kejadian dilihat serius kerana libat kapal tangki, kapal penumpang, kapal kargo

JOHOR BAHRU, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Secara purata dianggarkan hampir 100 kapal dagang asing dikesan bersauh secara haram setiap hari di perairan Johor Timur, sejak 10 Januari hingga semalam.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata kejadian itu dilihat amat serius kerana melibatkan kapal tangki, kapal penumpang dan kapal kargo.

Beliau berkata perkara itu dipercayai disebabkan syarikat perkapalan berkenaan tidak mempunyai urusan perniagaan susulan pandemik COVID-19, yang mengakibatkan mereka tidak dapat kemana-mana kerana ia akan melibatkan kos.

“Jadi cara paling mudah (yang dipilih mereka) ialah bersauh di mana-mana sahaja, tetapi (masalahnya) apabila mereka bersauh di tempat yang tidak dibenarkan, ia mengganggu laluan pelayaran yang mungkin boleh menyebabkan kemalangan seperti pelanggaran kapal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor di sini, hari ini.

Menurutnya selain risiko kemalangan, pihaknya turut bimbang kapal-kapal itu terbabit dengan aktiviti jenayah termasuk melakukan pelupusan minyak secara haram di perairan negara, pemerdagangan orang serta penyeludupan dadah.

Mohd Zubil berkata sehubungan itu pihaknya telah melancarkan Operasi Khas Jangkar (Sauh) Haram selama 10 hari bermula semalam bagi membanteras ratusan kapal yang bersauh secara haram di perairan Johor Timur.

Beliau berkata bagi menangani isu itu secara lebih berkesan, 11 aset penguatkuasaan turut digerakkan serentak ke operasi sama iaitu melibatkan lima kapal, empat bot, dua helikopter serta dua unit Pasukan Tindakan Khas (PTK).

Menurutnya sejak operasi dilancarkan semalam, lima kapal berjaya ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kami jangkakan lebih banyak lagi kapal akan ditahan dan bermula esok juga, tindakan lebih tegas akan diambil iaitu membawa kes terus ke mahkamah dan tidak lagi mengeluarkan kompaun sebagaimana sebelum ini,” katanya.

Sementara itu Mohd Zubil berkata pihaknya telah menenggelamkan lebih 1,000 kapal nelayan asing sejak Maritim Malaysia ditubuhkan pada tahun 2006, dengan majoriti melibatkan kapal dari Vietnam yang menjadikan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang sebagai tumpuan aktiviti mereka.

Beliau mengambil contoh untuk tahun lepas sahaja, lebih 200 kapal telah ditelenggamkan dengan setiap satunya dianggarkan bernilai kira-kira RM1.5 juta.

“Negara dianggarkan mengalami kerugian RM6 bilion untuk sumber pendapatan perikanan setiap tahun kerana hasil laut dikaut oleh nelayan asing ini. Disebabkan itu, Maritim Malaysia mengambil tindakan tegas,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button