Berita Utama

ISMA gesa tubuh RCI siasat kartel PDRM

Jika tak dibanteras, mungkin akan pengaruhi siasatan kes jenayah berat

BANGI, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjadi sebuah badan berkanun yang bebas daripada pengaruh luar dan politik wang supaya kekal menjadi agensi kepercayaan orang awam.

Atas dasar itu, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mahu dakwaan wujudnya kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibanteras bukan hanya di peringkat bawahan, tetapi juga atasan.

Timbalan Presiden ISMA, Dr Ahmad Kamsani Samingan berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan mengenai kewujudan kartel terbabit.

Katanya, kartel PDRM yang dikatakan memberi jaminan wang dan perlindungan kepada penjenayah sudah lama bertapak seperti didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini.

“ISMA khuatir jika amalan ini tidak dibanteras, ia akan mempengaruhi banyak siasatan dan tangkapan berhubung kes-kes jenayah berat seperti kartel dadah, judi, pelacuran, pemerdagangan manusia, pembunuhan, kegiatan pinjaman wang haram dan banyak lagi.

“Sebagai contoh kes pembunuhan seorang anggota bomba, Allahyarham Adib dalam kes rusuhan kuil Sri Maha Mariamman masih senyap tanpa ada sebarang pendakwaan, sedangkan sudah banyak kes pembunuhan PDRM tangkas membuat pendakwaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan wujudnya kartel di dalam PDRM yang mendapat sokongan dari pihak luar tertentu.

Beliau berkata, data-data identiti mereka yang terlibat dalam gerakan kartel itu diperoleh daripada sumber sahih, namun tidak akan mendedahkannya kerana perkara itu diyakini masih berada di dalam kawalan.

“Sejak 2019 saya sudah ingatkan kepada semua untuk putuskan hubungan dengan taukeh judi dan dadah agar kita dapat jalankan tugas dengan selesa dan tidak diugut oleh  mana-mana pihak, namun dalam tempoh itu juga saya rasa sudah hampir 100 anggota dan pegawai memakai ‘baju jingga’,” kata Hamid.

Mengulas perkara itu, Dr Kamsani menganggap pendedahan Ketua Polis Negera berhubung ‘kartel PDRM’ sangat membimbangkan dan perlu diberi perhatian.

“ISMA tidak mahu wujudnya sikap berdiam diri oleh masyarakat awam gara-gara takut jika diugut sekiranya membuat laporan polis berhubung mana-mana kegiatan jenayah berat melibatkan penjenayah yang dilindungi kartel PDRM ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button