Berita Utama

‘Budaya politik matang sejahtera PAS sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan’

Kritikan bukannya penderhakaan terhadap wala’: Khairuddin

BANGI, 11 Syaaban 1443H, Isnin – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa, budaya politik matang sejahtera PAS (BPMS) yang menjadi dasar parti itu sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada serangan bertali arus oleh kepemimpinan tertinggi parti itu dan Perikatan Nasional (PN) terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Khairuddin menegaskan, tindakan menyerang UMNO-BN yang masih lagi rakan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) ‘meliarkan’ golongan atas pagar untuk mengundi PAS dan PN.

Tindakan itu juga tidak akan menyebabkan penyokong BN menyokong PN, katanya.

Namun, beliau berkata, hakikat ini pastinya tidak akan diperakui oleh pimpinan dalam bedah siasat pilihanraya nanti.

“Budaya penafian (denial syndrome) dan menyapu sampah ke bawah karpet jika terus dibiarkan akan membunuh parti satu hari nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Walhal, Khairuddin berkata, konsep wala’ dan ketaatan kepada sesebuah parti atau pemimpin tidak seharusnya mematikan muhasabah dan kritikan.

“Kritikan bukannya penderhakaan terhadap wala’.

“Kritikan terbuka perlu diterima di saat teguran dalaman menerusi mesyuarat tertutup, tidak lagi diendahkan bahkan dibocorkan kepada awam sehingga menimbulkan fitnah kepada orang yang menegur,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button