Berita Utama

Undi 18 belum sesuai, anak muda bawah 20-an kurang serius hal negara

Kerajaan perlu tegas buat keputusan, jangan tunduk desakan mana-mana pihak

BANGI, 6 Ramadan 1442H, Ahad – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu tegas membuat keputusan berhubung isu Undi 18, paling penting tidak terikut-ikut dengan desakan mana-mana pihak.

Ini kerana melihat kepada situasi politik hari ini, had umur 21 tahun sebagai kelayakan mengundi wajar dikekalkan, kata pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berpandangan, anak muda berusia bawah 20-an kurang serius dalam perkara berkaitan kenegaraan dan mengambil berat isu politik.

“Pokoknya wajar atau tidak dan berikan justifikasi setelah itu membuat keputusan.

“Sebab tidak bertentangan pun dengan sistem demokrasi kecuali kalau kita tidak bagi orang mengundi,” katanya dalam program Apecer di TV Pertiwi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Prof Ridhuan Tee pelik tatkala melihat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) liberal dan parti pembangkang yang bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan isu berkenaan.

Bagaimanapun beliau yakin tindakan itu dengan harapan pihak berkenaan mempunyai peluang cerah pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan diadakan kelak.

“Mereka sudah nampak perkara ini dan kemuncaknya perpecahan yang sangat ketara dalam kalangan parti politik Melayu Islam.

“Kalau dilaksanakan undi 18 tahun ini dengan kesungguhan anak-anak ini mereka akan dapat undi yang lebih banyak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button