Berita UtamaPendapat

Kita perlukan kepimpinan baharu Malaysia!

Mentransformasi akar masalah, bukan sekadar tadbir urus baik

KEPIMPINAN  baharu Malaysia bukan bermaksud meruntuhkan segala kemajuan material dan pembangunan fizikal yang telah digagas dan dilaksanakan oleh para pemimpin negara terdahulu

Kita bukan mahu menghancurkan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC), Menara KL, Menara TRX, Menara Merdeka PNB 118 dan pelbagai lagi infrastuktur fizikal termasuk puluhan lebuhraya, rangkaian pengangkutan awam bertaraf dunia dan pelbagai jenis kemudahan,  yang telah meletakkan nama Malaysia sebagai negara membangun yang dikenali dunia

Tapi, persoalannya adakah itu semua definisi kemajuan bagi kita?

Ya, di sinilah kesilapan para pemimpin terdahulu yang memerlukan perubahan total.

Kepimpinan baharu Malaysia bermaksud membina asas falsafah ketamadunan yang betul, berasaskan tauhid dan ketinggian kualiti insaniah, bukan semata-mata kemajuan fizikal yang berasaskan kerangka ekonomi kapitalis yang tidak bertuhan

Kepimpinan baharu Malaysia mentransformasi akar masalah, bukan sekadar mencantikkan ranting, daun serta buah yang boleh dianalogikan sebagai tadbir urus yang baik (good governance)

Isunya, ‘good governance’ pun gagal kita capai dengan pelbagai kemajuan fizikal yang telah berjaya dibina

Masalah terbesar kita ialah kualiti insan itu sendiri. Sistem pembangunan insan, pendidikan dan segala jenis persekitaran yang terlibat membina pemimpin masa depan yang ‘bertuhan’ dan berintegriti tinggi telah hilang

Lantas kita melihat semakin tinggi menara tersohor dunia dibina di negara kita, semakin hancur akhlak anak muda, semakin teruk ekonomi sara hidup mereka, semakin ‘gila’ ahli politik negara merebut kuasa dan semakin tinggi kadar rasuah, jenayah, perceraian dan pencerobohan kedaulatan negara

Kerana inilah kita perlukan kepimpinan baharu Malaysia!

Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button