Berita Utama

Mahkamah Tinggi benar wanita Cina teruskan rayuan isytihar bukan Islam

Wanita itu didaftar sebagai Islam oleh bapanya secara sepihak ketika berumur 10 tahun

KUALA LUMPUR, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan seorang wanita Cina mencabar penukaran agama Islam, agama yang ditukarkan oleh bapanya secara sepihak semasa beliau masih kanak-kanak.

Wanita itu, yang akan berusia 41 tahun pada tahun ini, juga mahu kad pengenalan baharunya mengembalikan nama asal sebelum ayahnya memeluk Islam dan turut mendaftarnya sebagai beragama Islam secara sepihak ketika berumur 10 tahun.

 

Wanita itu telah mengemukakan tuntutan tersebut pada akhir tahun lalu melalui permohonan semakan kehakiman.

Bagaimanapun, nama beliau serta nama ibu bapanya terpaksa dirahsiakan atas sebab peribadi.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly mengesahkan, bahawa keizinan untuk semakan kehakiman telah diberikan hari ini oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya.

Katanya, kes itu akan dikemukakan untuk pengurusan kes pada 8 April. Peguam Persekutuan, Mohamad Sallehuddin Md Ali juga hadir sebagai wakil Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dilahirkan di Singapura pada tahun 1980 oleh pasangan Cina yang beragama Buddha, wanita itu mengatakan bahawa bapanya pada Februari 1990 memeluk Islam dan pada bulan Oktober 1990 mendaftarkannya di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai seorang muslim ketika berusia 10 tahun dan kemudian diberi nama baru.

Namun, wanita itu mengatakan bahawa ibunya tidak pernah menjadi muslim dan tak pernah memberi izin kepada bapanya untuk menukar agama anak daripada Buddha menjadi Islam. 

Pasangan ini kemudian bercerai pada tahun 1993.

Wanita itu mengatakan bahawa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tidak meminta persetujuan ibunya sebelum mendaftarkannya sebagai seorang muslim.

Sejak berusia 18 tahun atau menjadi dewasa pada tahun 1998, wanita itu mengatakan bahawa dia mengamalkan agama Buddha dan juga tinggal bersama ibunya.

Wanita itu mengatakan bahawa dia tidak pernah mengaku atau mempraktikkan akidah Islam, dan tidak pernah mengucapkan ‘dua kalimah Shahadah’.

Selain itu, dia memaklumkan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mempunyai rekod untuk menunjukkan bahawa dia telah menjadi seorang muslim setelah berusia 18 tahun.

Pada 24 Ogos 2020, wanita itu mengatakan bahawa dia tidak lagi menggunakan namanya sekarang dan telah membuat pernyataan berkanun untuk mendapatkan MyKad baru untuk mengembalikan nama asalnya dan juga telah meminta agar perkataan ‘Islam’ digugurkan daripada kad pengenalannya.

Pada 28 Ogos 2020, wanita itu memohon kad pengenalan di JPN Ipoh, Perak tetapi pegawai kaunter JPN enggan menerima dan memproses permohonan itu melainkan dia mengemukakan perintah dari Mahkamah Tinggi Syariah.

Setelah tidak mendapat jawapan daripada JPN terhadap surat permintaan pada Oktober 2020 yang meminta kad pengenalan baru, wanita itu pada 12 November 2020 mengajukan semakan kehakiman terhadap Ketua Pengarah JPN, kerajaan Malaysia dan Mais.

Dalam permohonan semakan kehakimannya, wanita tersebut meminta enam perintah pengadilan, termasuk pengisytiharan bahawa dia adalah Buddha dan dua perintah mandamus yang terpisah untuk memaksa Ketua Pengarah JPN mendaftarkan perubahan namanya ke nama asal, dan untuk mengeluarkan kad pengenalan ganti dengan nama asalnya selaras dengan Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Wanita itu juga mengatakan bahawa dia bebas memilih agama apa pun tanpa pengaruh dari siapa ketika berusia 18 tahun, sambil menambah bahawa dia memilih untuk mempraktikkan agama Buddha.

Menegaskan bahawa dia tidak pernah beragama Islam, wanita itu mengatakan tindakan JPN memintanya untuk mendapatkan perintah dari Mahkamah Tinggi Syariah terlebih dahulu sebelum memohon kad pengenalan baru dengan nama asalnya dan tanpa perkataan ‘Islam’ adalah tindakan tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak rasional dan dicemari dengan ketidaktentuan prosedur.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button