Berita Utama

Minta ahli berfikir panjang, Tok Mat dilihat cuba damaikan UMNO

Tolak kerjasama Bersatu mungkin bukan strategi terbaik buat UMNO

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilihat cuba untuk mencari titik perdamaian antara beberapa kumpulan di dalam UMNO apabila meminta semua ahlinya bertindak bijak dan berfikiran panjang sebelum menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menjelaskan pandangan itu, penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, umum telah mengetahui bahawa UMNO terpecah kepada beberapa kumpulan. 

Katanya, kumpulan paling ketara adalah mereka yang menentang kerjasama dengan Bersatu, dan sekumpulan lagi yang menyokong untuk berkerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

“Kumpulan yang menentang kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) ini adalah mereka yang mendukung Presiden UMNO sendiri, di mana sebahagian besarnya adalah akar umbi UMNO. 

“Manakala, kumpulan yang bersetuju kerjasama dengan Bersatu diketuai oleh Tan Sri Annuar Musa dan beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang berada di dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“Saya fikir Tok Mat Hasan sekarang sedang mengambil pendekatan yang seimbang di antara dua kumpulan yang bertentangan ini, yang dijangka di Perhimpunan Agung UMNO akan menyaksikan dua kumpulan ini menunjukkan aksi-aksi pertarungan, pengaruh mempengaruhi di antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, di dalam UMNO, Mohammad melihat kerjasama dengan Bersatu itu sebagai satu bentuk strategi yang tidak boleh dipandang ringan.

Ini kerana, situasi politik semasa menunjukkan bahawa UMNO mungkin tidak lagi dapat kembali dominan seperti dahulu sekiranya mereka bertanding secara solo melalui tiga penjuru. 

“Tok Mat merasakan bahawa ahli UMNO perlu berfikir kembali secara rasional antara pendekatan-pendekatan terbaik yang boleh diambil oleh UMNO ini untuk berdepan dengan PRU15. 

“Menolak kerjasama dengan Bersatu itu secara totalnya dianggap sebagai sesuatu yang mungkin boleh menjadi strategi yang salah pada UMNO. 

“Dan saya fikir Tok Mat mungkin merasakan bahawa kerjasama ini mungkin boleh diteruskan dalam PRU15 dengan syarat, antara kedua parti ini berunding dan membuat persetujuan yang baik,” katanya.

Beliau berkata, mencari penyelesaian yang terbaik daripada segi pengagihan kerusi dan sekiranya dipersetujui, boleh menjadi satu perkara yang membawa kelebihan kepada UMNO dan juga rakan-rakannya dalam PN. 

“Jadi pendekatan Tok Mat Hasan sekarang saya lihat lebih kepada strategi untuk mendamaikan. Membawa UMNO kepada satu keadaan untuk menilai dengan sebaik-baiknya. 

“Memutuskan hubungan secara total dengan Bersatu itu mungkin dilihat merugikan kepada UMNO pada masa depan. Atau perhitungan tersebut dilihat sebagai perhitungan yang salah demi kelangsungan UMNO dalam politik Malaysia pada masa hadapan,” katanya lagi.

Semalam, Mohammad dilaporkan berkata, semua ahli UMNO perlu bertindak bijak dan berfikiran panjang sebelum menolak kerjasama dengan Bersatu yang hubungan dilihat retak berpunca daripada perasaan cemburu dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya.

Beliau berkata, sifat cemburu hati itu melonjak dalam membangkitkan persaingan untuk berebut kerusi bertanding memandangkan masing-masing sudah nampak jalan untuk bertanding pada PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button