Berita Utama

Penceroboh kecil mudah saja didakwa, ‘kartel’ Musang King terus senyap

Mengapa pencerobohan terus berlaku, tak takut undang-undang?

BANGI, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Belum selesai isu pencerobohan ‘kartel’ kebun durian Musang King di Pahang, timbul pula kegiatan sama membabitkan warga asing di hutan simpan di negeri berkenaan.

Kali ini seorang warga Pakistan ditahan dan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub kerana menceroboh Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis.

Tertuduh, Rawan Bakht dikenakan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah memasuki kawasan hutan Kompartmen 600 Hutan Simpan Ulu Jelai pada 15 Mac lalu.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, persoalan sama akan ditimbulkan setiap kali kes pencerobohan tanah berlaku, namun sehingga kini tiada jawapan.

“Antaranya, mengapa pencerobohan terus berlaku di hutan-hutan daerah yang sama, seolah-olah mereka langsung tidak takut dengan undang-undang?

“Apakah masalahnya ada pada penguatkuasaan? Atau apakah ada elemen-elemen rasuah dalam kalangan penguatkuasa hutan dan tanah?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bahkan, katanya, sehingga kini juga status siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan salah guna kuasa dalam jabatan hutan dan berkaitannya tidak diketahui.

“Mengapakah pencerobohan-pencerobohan di fasa awal, di mana belum lagi ada penarahan besar-besaran pasti oleh warga asing?

“Apakah tiada orang tempatan yang terlibat di sebalik pencerobohan-pencerobohan di hutan yang agak ‘ceruk’ sebegini? Bagaimana warga asing begitu arif dengan geografi tempatan di ‘ceruk’ ini?,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan apakah warga asing yang terbabit di dalam kegiatan itu hanyalah ‘kambing hitam’ untuk menutup sesuatu lebih besar di sebalik isu berkenaan.

“Atau apakah kita akan hanya temui orang tempatan hanya apabila tanah yang diceroboh sudah menjadi ladang-ladang besar dan mereka sudah menjadi tauke besar sehingga mereka tidak perlu berselindung lagi?

“Rakyat masih belum lupa akan siri pencerobohan tanah dan hutan di negeri Pahang yang sangat menyedihkan, lebih-lebih lagi kes ‘kartel’ kebun Musang King yang akhirnya berjaya disenyapkan melalui proses rayuan di mahkamah yang ‘ditangguh’ sehingga suatu tempoh yang tidak diketahui,” katanya.

Mengulas dari sudut perspektif berbeza, Haji Aminuddin tertanya-tanya mengapa penceroboh kecil seperti itu dengan mudah sahaja didakwa dan didenda di mahkamah berbanding ‘kartel’ Musang King yang sudah lebih 40 tahun sehingga menyebabkan kerugian kepada pendapatan negeri.

“Mengapa ada ‘double standard’ begini pula? Sudahlah tidak didenda dan dijatuhkan hukuman, mereka ini disanjung lagi oleh ahli-ahli politik sebagai ‘hero’ yang kononnya petani dan peniaga berjaya.

“Sedihnya pada masa yang sama, pemimpin politik hanya sibuk menjatuh sesama sendiri walau sudah ada kuasa. Manakala apabila tibanya perhimpunan agung mereka nyanyi lagi ‘Anak Kecil Main Api’ sambil menangis-nangis,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button